Skip to main content

SEJARAH TERCIPTA : IPPT DI BAWAH KEPIMPINAN YANG BARU

 

KEPALA BATAS, 4 April 2013 – Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dato’ Omar Osman dan Pengurusan Tertinggi Universiti telah sebulat suara bersetuju melantik 6 orang Ketua Kluster yang baharu berikutan dengan penggabungan 12 kluster di IPPT sebelum ini.

Hasil dari penggabungan itu, 5 kluster telah diberi nama baru iaitu Kluster Sains dan Gaya Hidup, diketuai oleh Prof. Rabindarjeet Singh Kabal Singh, Kluster Sains Onkologi dan Radiologi dikemudi oleh Dr. Mahayuddin Abdul Manap, Kluster Perubatan Regeneratif dipacu oleh Dr. Badrul Hisham Yahaya, Kluster Infektomik dikepalai oleh Dr. Muhammad Amir Yunus dan Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan diketuai oleh Dr. Norehan Mokhtar. Manakala Kluster Perubatan Integratif masih mengekalkan nama yang sama di bawah seliaan Dr. Lim Vuanghao.

Hanya Kluster Infektomik dan Kluster Kraniofasial dan Sains Biobahan sahaja yang tidak bergabung dengan mana-mana kluster yang terdahulu. Selebihnya adalah merupakan hasil gabungan seperti berikut Kluster Sains dan Gaya Hidup adalah gabungan daripada Kluster Gaya Hidup Sihat dan Kluster Sains Tingkahlaku dan Sains Otak. Kluster Sains Onkologi dan Radiologi adalah gabungan Kluster Sains Onkologi, Sains Radiologi dan Pusat Jaringan Penyelidikan Translasional dan Antarabangsa. Kluster Perubatan Regeneratif pula adalah hasil gabungan Kluster Perubatan Regeneratif, Kluster Sains Kardiovaskular dan Kluster Sains Imunologi. Akhir sekali Kluster Perubatan Integratif adalah merupakan gabungan di antara Kluster Perubatan Integratif dan Kluster Toksikologi.

Keenam-enam kluster ini diperkuatkan lagi dengan pengurusan tertinggi IPPT iaitu Profesor Abd. Aziz Tajuddin selaku Pengarah, Profesor Madya Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan&Inovasi, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik, Pengantarabangsaan dan Prestasi Organisasi dan Dr. Muhammad Yusri Musa,  sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Klinikal,Kelestarian & Piawaian.  Pengarah dan semua Timbalan Pengarah juga telah dilantik oleh Naib Canselor berkuatkuasa 1 Januari 2013 yang lalu.

Seluruh warga  IPPT mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ketua Kluster dan pengurusan tertinggi IPPT yang telah dilantik. Semoga dengan pelantikan ini akan dapat memacu lagi aktiviti penyelidikan, akademik dan perkhidmatan klinikal di IPPT dalam usaha untuk menjadikan IPPT sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan dalam bidang-bidang tersebut.

 

Oleh: Mohd Nadzri Shuib

 
 
  • Last updated on .
  • Hits: 4839