Skip to main content

IPPT ADAKAN SAMBUTAN KHAS SEMPENA “LAND DAY PALESTINE”

 

 

BERTAM, 8 April 2013 – Bahagian Perkhidmatan Klinikal IPPT dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) IPPT telah menganjurkan satu Perhimpunan Bulanan khas bagi bulan April yang telah diadakan di Kompleks Penyelidikan Klinikal IPPT. Antara pengisian perhimpunan bulanan ini adalah sambutan khas sempena “Land Day Palestine” dengan kunjungan eksklusif Syeikh Abdul Rahman Ajjamal yang berkelulusan Phd dalam bidang Al-Quran dan Sains dari Gaza. Beliau merupakan seorang tenaga pengajar di Muasasah Dar Al-Quran Al Karim Wa Sunnah di Gaza.

Sambutan “Land Day Palestine” disambut pada 28 Mac setiap tahun bagi memperingati peristiwa tanah umat Islam Palestin yang dirampas oleh regim zionis. Dalam ucapannya, Syeikh Abdul Rahman Ajjamal menyatakan bahawa beliau merasa amat gembira dengan pertemuan dengan warga IPPT yang dibina atas dasar ukhuwwah Islamiah, asas akidah, kepercayaan dan keyakinan kepada Allah SWT. Beliau memuji kesungguhan rakyat Malaysia khususnya Aqsa Syarif dan badan-badan lain yang banyak membantu rakyat Palestin dalam perjuangan mendapatkan hak-haknya. Tambah beliau, di Palestin umat Islam di sana bilangannya amat sedikit tetapi masih boleh berdepan dengan tentera Israel yang ramai dan memiliki senjata yang canggih.

Menurut Syeikh Abdul Rahman lagi, tentera Islam tidak gentar dengan tentera Israel kerana mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah yang sekaligus menggerakkan hati-hati mereka untuk terus berjihad mendapatkan hak-hak mereka. Tentera Islam yang terdiri daripada pemuda-pemuda ini dididik dan diasuh dengan Al-Quran bagi melawan tentera Yahudi. Di bumi Gaza Palestin, terdapat banyak muasasah atau institusi yang mengajar pejuang Islam dengan penghayatan ilmu Al-Quran dan menghafaz Al-Quran. Ada lebih kurang 1000 halaqah pengajian di muasasah tersebut. Kaum lelaki akan pergi berperang manakala kaum wanita pula akan mengajar anak-anak dengan tarbiyyah Islam dan menanamkan kecintaan ‘syahid’ kepada mereka. Syeikh Abdul Rahman memberi satu contoh keluarga pejuang Islam di Palestin yang terkenal dan diberi jolokan nama sebagai wanita contoh rakyat Gaza iaitu Farhad.  Beliau memiliki tiga orang anak yang gugur sebagai syahid. Salah seorang anak beliau ialah Muhammad berumur 17 tahun telah syahid di usia remaja. Antara pengorbanan Farhad ialah beliau akan memakaikan pakaian perang kepada anaknya lantas menyeru pergilah kamu berjuang dan jangan pulang melainkan mati syahid di jalan Allah.

Syeikh Abdul Rahman turut membacakan sepotong ayat Al-Quran bagi menyuntik motivasi iman dari surah Muhammad ayat ke 7 yang bermaksud :

“Wahai Orang Beriman! Sekiranya kamu menolong agama Allah maka Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan pendirian kamu”.

Pada pertengah bulan November 2012 tentera Islam telah bertempur dengan tentera Israel. Sejarah telah tercipta apabila asakan yang hebat dari tentera mujahidin Gaza telah memaksa tentera Israel melakukan genjatan senjata.  Peristiwa agung ini berlaku kerana mereka tidak boleh menyaingi kehebatan peluru berpandu yang mencecah jarak sasaran 80 kilometer ciptaan tentera Islam yang diberi nama “hijjaratan min sijjil”, yang bermaksud ‘batu dari neraka Sijjil’ yang dicipta dan diinovasi dari Surah Al-Fiil sebagaimana yang diceritakan Allah. Tambah Syeikh Abdul Rahman lagi perjuangan membantu Gaza adalah merupakan perjuangan ummah kerana Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa, tidak digalakkan bermusafir kecuali ke tiga tempat iaitu Masjidil Haram, Masjidil Nabawi dan Masjidil Aqsa di bumi Palestin.

Di akhir pertemuan Syeikh Abdul Rahman berpesan kepada semua yang hadir agar mendalami ilmu Al-Quran, memperbanyakkan menghafaz Al-Quran kerana Al-Quran merupakan mukjizat dan petunjuk yang boleh memberikan ketenangan di dunia dan akhirat.

Menurut Dr. Muhamad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal, program ini adalah bertujuan untuk mengajak staf supaya prihatin terhadap nasib dan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam Palestin dan sama-sama membantu dengan cara sentiasa berdoa kepada mereka dan memberi sumbangan derma ikhlas untuk membantu perjuangan dan kebajikan umat Islam Palestin.

Perhimpunan bulanan yang dihadiri oleh lebih kurang 100 orang warga IPPT ini telah berjaya mengumpulkan kutipan derma sebanyak RM2300 kepada Aqsa Syarif untuk disumbangkan kepada umat Islam Palestin.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT, En Md Hisham Abd Razak, Pengurus Kanan Farmasi, dan Ustaz Mohammad Shukri Osman, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, selaku penterjemah.

 

Oleh : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid
Foto : Norizan Ishak 

 

 

 

  • Last updated on .
  • Hits: 1412