Skip to main content

BANTUAN DIHULUR MERINGANKAN BEBAN


BERTAM, 18 Mac
 –  Dari kacamata seorang OKU (orang kurang upaya), manusia boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu mereka yang kurang upaya dan mereka yang belum lagi menjadi kurang upaya. Realitinya, di Malaysia boleh dikatakan ramai yang menjadi OKU disebabkan kemalangan.

 

Begitulah hakikat yang terpaksa di tempuh oleh En. Azhari Ali yang bertugas sebagai Juruteknik Komputer di Universiti Sains Malaysia yang telah kehilangan kedua-dua belah kakinya selepas beliau terlibat di dalam kemalangan jalan raya pada penghujung tahun lalu.

 

Simpati dengan ujian yang menimpa En. Azhari, Puan Siti Zubaidah A Hamid, Pendaftar USM telah menyerahkan sumbangan sebuah kerusi roda untuk kegunaan beliau. Kerusi roda tersebut adalah sumbangan ikhlas daripada universiti sebagai tanda prihatin dan mengambil berat kebajikan staf.

 

Puan Siti Zubaidah A Hamid telah memberikan kata-kata semangat kepada En. Azahari supaya tabah dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rawatan agar cepat sembuh dan pulih sepenuhnya. En. Azhari serta keluarga berasa amat  terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak universiti atas sumbangan yang diberikan.

 

Turut hadir Pengarah IPPT, Prof. Abd. Aziz Tajuddin, En. Hazlan Abdul Hamid, Ketua Penolong Pendaftar IPPT, En. Khairul Eruwan Abdul Halim, Ketua Penolong Pendaftar, Seksyen Pembangunan Organisasi, Jabatan Pendaftar, En. Mohd Faizal Md Osman, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Pendaftar. Mereka terlebih dahulu telah melawat Puan Sri Datin Masrah Abidin, Mantan Pustakawan yang sedang menjalani rawatan ortopedik di wad yang sama.

 

 

Berita/ Foto: Mohd Nadzri Shuib

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT
E-mail : 
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • Last updated on .
  • Hits: 1929