Skip to main content

AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI MELALUI PENDEKATAN 5S


BUTTERWORTH, 8 Mac 2013 – Seiring dengan langkah-langkah transformasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan, terdapat usaha-usaha untuk memantapkan pengurusan pejabat melalui pengenalan Amalan 5S. Amalan 5S merujuk kepada pengurusan persekitaran tempat kerja yang lebih seragam dan sistematik. Amalan 5S dapat membantu warga Jabatan/Agensi bekerja dalam persekitaran tempat kerja yang kondusif dan selesa.

Menyedari hakikat ini, Makmal Diagnostik Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menjadikan Amalan 5S ini sebagai sasaran utama untuk dilaksanakan pada tahun ini. Seramai 20 orang staf telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk mempelajari dan melihat sendiri perlaksanaan Amalan 5S yang telah dilaksanakan oleh warga PERDA. Selain itu, ia diadakan bagi memantapkan lagi persediaan ke arah Persijilan 5S untuk kali pertama.

Kehadiran warga IPPT disambut oleh En. Mohd. Fauzi bin Mohd. Ghazali, Penolong Pengurus Kanan (Pentadbiran) yang juga Penyelaras kepada Program Amalan 5S di PERDA. Taklimat ringkas tentang Amalan 5S di PERDA turut disampaikan oleh En. Mohd Shahrul Nizal bin Halim bagi memberi panduan dan penerangan yang jelas dan mencari rahsia kejayaan mereka dalam perlaksanaan amalan ini. Deligasi dibawa melawat sekitar Ibu Pejabat PERDA bagi melihat dan merasai sendiri situasi amalan 5S yang dilaksanakan.

Amalan 5S merupakan satu kaedah pengurusan yang dipelopori oleh pihak industri di Jepun bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Amalan 5S bermatlamat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal. Pelaksanaan Amalan 5S yang berkesan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja.


Berita / Foto : Mohd Faisal Jamaludin

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT
E-mail : 
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Facebook : www.facebook.com/ipptusm

 
 
  • Last updated on .
  • Hits: 2680