Skip to main content

DEFINISI SAKIT DARI PERSPEKTIF ISLAM DIRUNGKAI


BANDAR PUTRA BERTAM, 27 Feb
 – Sudah menjadi lumrah manusia untuk merasai nikmat sihat dan juga sakit, namun sejauh manakah penerimaan kita terhadap musibah ataupun penyakit yang ditanggung itu menjadi persoalan kerana fitrah manusia yang lemah ini kadangkala tidak dapat melihatnya dari sudut yang positif.

 Justeru, Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah Perempuan sebagai platform untuk turut menerangkan tentang perkaitan di antara sakit, manusia dan Islam. Kursus ini merupakan lanjutan daripada kursus pengurusan jenazah yang telah dijalankan pada bulan Jun 2012.

 

Bertempat di Dewan Seminar Ibnu Sinna, seramai hampir 90 orang peserta telah diberi kupasan menarik oleh Ustazah Nor Fadhilah Wahab dari Pusat Islam Universiti Sains Malaysia. Pencerahan mengenai manusia dan Islam, peranan orang sakit, tanggungjawab terhadap jenazah serta cara-cara dan peralatan untuk menguruskan jenazah dan sembahyang mayat telah diterangkan secara jelas.

 

 “Siapa kita dan siapa pencipta? Bagaimana kita boleh kenal diri kita? Dari mana kita datang dan ke mana arah tuju kita dan untuk apa kita dijadikan?” antara persoalan yang dibawakan oleh Ustazah Fadhilah kepada para peserta untuk memahami apakah tujuan sakit diberikan supaya mereka yang sihat dapat mengambil iktibar dan mereka yang diuji dengan kesakitan itu dapat menerimanya dengan hati yang redha.

 

Bagi memudahkan para peserta memahami teknik dan cara menguruskan jenazah, satu sesi praktikal telah diadakan di akhir kursus. Adalah diharapkan para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang telah dicurah sepanjang kursus ini, seterusnya dijadikan amalan agar sikap mengambil berat yang semakin pudar di dalam masyarakat dapat dihakis.

 

Oleh : Mohd Nadzri Shuib
Foto: Noorlela Ahmad


Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT
E-mail : 
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • Last updated on .
  • Hits: 3943