Skip to main content

KURSUS HAJI DAN UMRAH BUAT KAKITANGAN IPPT

 

BERTAM, 20 Feb – Sudah menjadi hasrat dan impian semua umat Islam untuk menjejakkan kaki di bumi Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji dan umrah. Kakitangan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) juga tidak berkecuali apabila terdapat beberapa orang staf turut berada di kalangan mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah.

Menyedari akan hal itu, Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) IPPT telah menganjurkan Kursus Haji dan Umrah Siri pertama bagi tahun 2013 bertempat di Dewan Ibnu Sina, IPPT. Sambutan yang telah diberikan oleh kakitangan IPPT amat menggalakkan di mana kursus ini telah mencatat lebih 90 orang peserta.

Kursus selama satu hari itu telah disampaikan oleh Ustaz Mohammad Shukri Osman, Pegawai UHEIS, IPPT. “Kita perlulah sentiasa memperbetulkan niat dan memegang erat niat tersebut semasa menunaikan haji dan umrah kerana kita akan diuji di bumi berkat itu,” tegas beliau yang turut berkongsi pengalaman dan pelbagai cerita tauladan yang menarik dari Jemaah haji yang lain.

Turut dikongsikan tujuan mengerjakan ibadah haji serta syarat dan rukun haji  di samping amalan sebelum dan semasa menunaikan ibadah tersebut. Adalah diharapkan Jemaah haji yang akan pergi menunaikan ibadah yang dituntut ini akan mendapat haji mabrur sekembalinya ke tanah air kelak.

 

Oleh / Foto : Mohd Nadzri Shuib

 

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT

E-mail : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..edu.my

  • Last updated on .
  • Hits: 1611