Skip to main content

BERZAKAT MEMBAWA SERIBU KEBERKATAN

 

BERTAM, 7 Feb – Keberkatan rezeki itulah tajuk ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Puad Md Isa, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Kutipan Zakat & Pemasaran, Pusat Urus Zakat Pulau Pinang. Dalam ceramahnya beliau menegaskan bahawa adalah menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk membayar zakat. Dalam Islam sebelum berangkat menunaikan fardu Haji urusan zakat mesti diselesaikan terlebih dahulu supaya haji yang akan dilaksanakan kelak sempurna dan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur ujar beliau. Menunaikan fardu haji adalah tuntutan yang kelima dalam rukun Islam manakala menunaikan zakat adalah tuntutan keempat yang wajib dilaksanakan dahulu. 

 

Tambah beliau lagi ada segelintir umat Islam yang sengaja menangguh-nangguh membayar zakat dan akibatnya terpaksa qadha zakat dalam jumlah yang banyak. Sedangkan kemudahan membayar zakat  telah disediakan  dalam bentuk potongan gaji, secara online atau pun boleh terus datang ke pejabat zakat tetapi masih ada yang suka bertangguh.

Oleh itu, beliau menyarankan kepada semua peserta yang hadir supaya segera membayar zakat dan menjadikan ianya sebagai perkara yang diutamakan dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim. Seramai 60 orang staf  IPPT yang terdiri daripada pelbagai kategori jawatan telah hadir mendengar ceramah. Selain daripada aktiviti ceramah kaunter zakat turut dibuka untuk penerimaan borang potongan zakat pendapatan. Kaunter Zakat ini telah mendapat sambutan menggalakkan ramai kakitangan IPPT telah datang untuk menunaikan kewajipan membayar zakat. Program ceramah ini telah dianjurkan oleh Unit Perhubungan Awam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Pusat Urus Zakat Pulau Pinang.

Adalah diharapkan dengan program seumpama ini akan dapat memberi pengetahuan dan kesedaran kepada kakitangan IPPT tentang betapa pentingnya peranan institusi zakat dalam membangunkan sosioekonomi ummah.

 

 

Berita : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

Foto : Mohd Faisal Jamaludin

 

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT

E-mail : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Facebook : www.facebook.com/ipptusm

  • Last updated on .
  • Hits: 2180