Skip to main content

CPS: MODEL KECEMERLANGAN UMMAH DIKUPAS

BERTAM, 30 Jan – Unit Hal Ehwal Islam Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (UEHIS, IPPT) USM telah menganjurkan program Ceramah Perdana Semasa (CPS) bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat IPPT. Seperti kebiasaannya, program CPS akan menampilkan selebriti agama untuk memberikan pengisian dan pada kali ini seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Fakhrulrazi Ibrahim yang lebih dikenali dengan panggilan Imam Muda Arrazi, seorang finalis Imam Muda musim ke – 3 telah diundang sebagai penceramah.

 “Seharusnya kita terus mencontohi dan mengambil tauladan Nabi Muhammad S.A.W yang telah di iktiraf sebagai seorang manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan manusia termasuk oleh non-muslim,” ujar Dr. Muhammad Yusri Musa yang merujuk buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History karya Michael H. Hart yang telah terjual lebih 500,000 naskah dan telah diterjemah ke dalam 15 jenis bahasa. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Klinikal IPPT seterusnya merasmikan Sambutan Maulid Nabi bagi tahun 1434 H di hadapan hampir 60 orang staf IPPT yang hadir.

Imam Muda Arrazi yang mengupas tajuk ‘Rasulullah Model Kecemerlangan Ummah’ banyak menceritakan kisah-kisah teladan Rasulullah yang ramai tidak ketahui di samping penerangan mengenai erti selawat, akal dan nafsu kerana di antara halangan orang mukmin untuk menempa kecemerlangan adalah kerana terlalu cintakan dunia dan nafsu yang tidak dapat dikawal selain faktor syaitan di kalangan jin dan manusia. Penerangan beliau yang jelas telah memudahkan proses pemahaman seterusnya dapat mengukuhkan peribadi mereka yang hadir.

“Usaha janganlah kita mengharapkan hasil dan jangan lupa untuk iringi usaha itu dengan doa dan bersangka baik terhadap Allah kerana sebaik-baik perancang adalah Allah,” tegas beliau memberikan tips kecemerlangan kepada mereka yang hadir.

Selain pengisian CPS, sambutan Maulid Nabi peringkat IPPT turut dimeriahkan dengan jamuan aqiqah dan kenduri kesyukuran yang dibuat secara bergotong-royong.

 

 

Oleh / Foto : Mohd Nadzri Shuib

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT

E-mail : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.u.my

  • Last updated on .
  • Hits: 1322