Skip to main content

KESEDARAN AUTISME DI KALANGAN MASYARAKAT SEMAKIN MENINGKAT

 

 

SUNGAI PETANI, 11 Januari 2013 – Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia menerusi Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat  berkongsi kepakaran dengan masyarakat dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran penyakit autisme dalam kalangan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak autisme. Seminar selama sehari ini dianjurkan dengan kerjasama antara Institut Perubatan & Pergigian Termaju USM dengan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (The National Autism Society of Malaysia - NASOM) dan Autism Parent Support Group (APSG) Sungai Petani. Seminar ini telah dirasmikan oleh Dr. Shamshunnisah Abu Bakar, Ketua Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental HSAH. Program yang berlangsung di Auditorium Hospital Sultan Abdul Halim mendapat sambutan yang menggalakkan dihadiri 210 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru-guru dan kakitangan hospital.

Barisan penceramah terdiri daripada Dr. Intan Juliana Abdul Hamid, Pakar Kanak-Kanak IPPT, Dr. Vasanthi A/P Periasamy, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak HSAH dan Puan Rusmawati Abdullah, Timbalan Pengetua NASOM Cawangan Kuala Lumpur.   

Dr. Intan dalam ceramahnya yang bertajuk Apakah itu Autisme menerangkan bahawa autisme  adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada kanak-kanak yang gejalanya sudah timbul sebelum kanak-kanak itu mencapai usia 3 tahun. Penyebab autisme adalah gangguan neurobiologis yang mempengaruhi fungsi otak sehingga kanak-kanak tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif. Jika dilihat dari segi fizikal kanak-kanak yang mengalami autisme nampak normal tetapi hakikatnya sebenar tidak normal kerana fungsi otak mereka terganggu.

Secara ringkasnya tanda-tanda autisme adalah lambat bercakap, tidak normal atau tidak boleh bertutur, bahasa tanpa lisan yang tidak normal ; contoh, kurang pergerakan anggota badan, kurang cerdas semasa bermain, sukar bergaul dan suka bermain sendiri, hilang tumpuan dan kurang mimik muka, tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain, tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti.

Menurut Dr. Intan terdapat pelbagai kaedah rawatan untuk penyakit autisme. Antaranya ialah berjumpa dengan  Pakar Kanak-kanak, Pakar Psikiatri Kanak-kanak, Jurupulih Perubatan Carakerja, Jurupulih Perubatan Anggota, Pendidikan Khas dan Program Intervensi Awal (memerlukan sokongan kuat ahli keluarga terutama ibu bapa). Dr. Intan berpesan kepada semua peserta yang hadir supaya sentiasa peka dengan perkembangan anak dan segera bawa berjumpa doktor di klinik kesihatan jika mengesyaki anak mempunyai ciri-ciri autisme. Tambah Dr. Intan lagi sekiranya memerlukan pemeriksaan lanjut pesakit akan dirujuk kepada Pakar Kanak-kanak dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak. 

Secara rumusannya ada 3 perkara penting yang perlu semua pihak beri perhatian yang pertama ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme mesti berfikiran realistik seiring dengan kemampuan anak jangan terlalu meletakkan harapan yang keterlaluan. Kedua jangan mudah putus asa sebaliknya bantu anak-anak mencapai potensi mereka. Ketiga ibu bapa mesti libatkan diri dengan support group contoh Autism Parent Support Group (APSG) Sungai Petani untuk mendapatkan sokongan moral dan motivasi yang berterusan.

 

 

Berita : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

Foto : Amir Zaidi Abu Hassan / Mohd Faisal Jamaludin

 

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT

E-mail : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Facebook : www.facebook.com/ipptusm

  • Last updated on .
  • Hits: 5414