Skip to main content

BUKU 2013 : USM KENALPASTI TIGA INISIATIF UTAMA

 

 

PULAU PINANG, 10 Januari 2013 – Universiti Sains Malaysia telah mengenalpasti tiga inisiatif utama bagi menjadikan Program APEX (Pemacuan Kearah Kecemerlangan) Fasa Dua dapat diteruskan untuk tempoh 2014 hingga 2025. Ia meliputi penawaran tempat kepada pelajar terkebawah melalui saluran khas yang sedang dalam proses kelulusan Senat.

 

Dua lagi inisiatif lain termasuk meluaskan penawaran program di peringkat profesional dan pasca siswazah di pusat pembelajaran setempat di Kuala Lumpur serta menjayakan teras untuk memastikan sistem dalaman universiti dapat dijalankan secara berkesan dan kos efisien.

 

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dalam perutusannya sempena tahun baru 2013 juga menegaskan bahawa universiti tidak seharusnya hanya bergantung kepada pembiayaan kerajaan semata-mata, langkah-langkah tertentu perlu diambil bagi menjana pendapatan sendiri yang dapat menjadikan USM sebagai sebuah universiti berautonomi yang dapat memacu kecemerlangannya.

 

Perutusan Naib Canselor tahun ini diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM dan masih lagi mengetengahkan konsep “Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU)” dengan tajuk “Mensinergi Ekosfera Universiti untuk Kecemerlangan”.

 

Beliau turut melancarkan empat buah penerbitan buku baru USM iaitu BUKU 2013: Mensinergi Ekosfera Universiti untuk Kecemerlangan, The APEX University: The State of the Art, The APEX University Second Phase 2014-2025 dan USM in Numbers: Fact and Figure. Buku-buku berkenaan disifatkan sebagai sangat bermanfaat khususnya dalam menceritakan usaha yang telah dilaksanakan USM sehingga ke hari ini dan potensi pengembangan inisiatif-inisiatif yang diusahakan.

 

Dalam majlis yang sama juga, turut disampaikan watikah perlantikan Dekan-dekan dan Pengarah-pengarah baru termasuk Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT bagi tempoh 3 tahun dari Januari 2013 hingga Disember 2015.

 

 

 

Berita / Foto : Mohd Faisal Jamaludin

 

Untuk keterangan lanjut, hubungi Pejabat Perhubungan Awam IPPT

E-mail : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Facebook : www.facebook.com/ipptusm

  • Last updated on .
  • Hits: 1820