IPPT PERLUAS PROGRAM SAINTIS MUDA KE KORIDOR UTARA
TASEK GELUGOR, 28 Mac 2015 - Program Saintis Muda yang dianjurkan oleh Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Kluster Perubatan Integratif merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan minat pelajar mengikuti bidang sains.
Pengarah Program Dr. Hasni Arsad berkata, para pelajar perlu diberikan pendedahan yang berterusan bagi meningkatkan minat mereka dalam bidang ini.
"Bidang ini amat penting pada zaman sekarang dan Kementerian Pendidikan juga telah menyatakan bahawa pelajar aliran sains dan teknologi akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk di USM sendiri yang menekankan keperluan bidang ini," kata Hasni
Jelasnya, IPPT merancang untuk mengadakan program ini di negeri Kedah dan diikuti dengan negeri Perlis melalui beberapa perbincangan yang dibuat.
Hal ini juga dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar terhadap pentingnya bidang sains dalam mengharungi dunia pantas dan pesat membangun ini.
"Usaha serius IPPT untuk mencetus minat pelajar sekolah dalam bidang sains dan teknologi tidak terhenti di sini, malah kajian terperinci terhadap keberkesanan program ini akan dilakukan untuk dijadikan asas kepada perancangan program seumpama ini di masa hadapan," kata Hasni.
Program kali ketiga diadakan ini melibatkan sekolah di kawasan Koridor Utara meliputi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan utara Perak berbanding kali pertama diadakan hanya melibatkan pelajar sekitar Seberang Perai Utara dan kemudiannya sekitar negeri Pulau Pinang. Program ini diadakan melalui kerjasama dengan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarkat (BJIM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
Sekolah Menengah Tahfiz Al-Islah ini adalah sekolah kedua di negeri Pulau Pinang yang dipilih untuk menjalankan program ini yang melibatkan 50 orang pelajar tingkatan lima.
Para peserta yang ditemui menzahirkan rasa teruja dengan ceramah kerjaya dan aktiviti ujikaji yang diadakan.
"Program ini adalah salah satu program yang sangat baik untuk mempromosikan bidang sains dan teknologi. Ianya dapat melahirkan minat pelajar untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan dan menceburi bidang sains terutamanya menerusi aktiviti penyelidikan perubatan," kata salah seorang dari pelajar yang ditemui.
Program ini diisi dengan ceramah kerjaya dalam bidang sains serta pendedahan kepada pelajar pengalaman sebenar melakukan ujikaji makmal berkaitan teknologi DNA dan Bioinformatik.
Para peserta dapat merasai keghairahan untuk mempelajari sains seterusnya menerokanya secara menyeronokkan serta penuh dengan cabaran.
Teks/Foto: Faisal Jamaludin
- Last updated on .
- Hits: 3350