PERALATAN CT SCAN BARU MAMPU BERI MANFAAT KEPADA PESAKIT
BERTAM, 13 Februari 2015 - Sebuah syarikat pembekalan peralatan perubatan terkemuka dunia hari ini telah menyerahkan sebuah mesin CT Scan “Siemens SOMATOM Definition AS+” hasil rundingan pembelian peralatan tersebut sejak tahun lalu.
Wakil syarikat berkenaan telah memberikan khidmat latihan selama seminggu bermula lima hari lepas kepada staf yang akan mengendalikan peralatan berkenaan di Unit Imejan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia dan berakhir hari ini.
CT Scan adalah tomografi berkomputer untuk menunjukkan imej lebih bagus pada bahagian badan, organ dalaman dan juga sistem vaskular atau salur darah. Ia boleh memberitahu kita lokasi dan sejauh mana kecederaan akibat kemalangan atau kanser. Maklumat ini boleh membantu doktor mendapatkan diagnosis awal dan berkesan untuk merancang jenis pembedahan.
Menurut Puan Siti Zaleha Md Isa, Pegawai Imejan IPPT, alatan ini menggunakan teknologi terkini yang dilengkapi dengan dual energy dan mampu menghasilkan imej sebanyak 128 slices dalam satu pusingan.
“Dual energy adalah teknologi penghasilan imej dengan menggunakan dua tenaga spectra yang berbeza. Teknologi ini mampu mengurangkan dos sinaran dan agen kontras kepada pesakit serta membolehkan perbezaan antara komposisi dua jenis material dikenalpasti.”
“Selain daripada pemeriksaan CT scan rutin, biopsy, virtual colonoscopy dan CTA peripheral, CT scan ini juga digunakan untuk pemeriksaan CT koronari atau jantung,” tambahnya lagi.
Dengan kehadiran teknologi 128 slices, ia bukan sahaja menghasilkan imej yang lebih cepat, jelas dan spesifik tanpa mengabaikan keselesaan kepada pesakit, tetapi juga membolehkan pemeriksaan CT koronari dijalankan tanpa pengambilan "beta blocker" iaitu ubat untuk menstabilkan denyutan jantung.
Selain daripada itu, teknologi ini bukan sahaja dapat membolehkan pemantauan dilakukan terhadap keberkesanan rawatan kanser berdasarkan perbezaan saiz kanser sebelum dan selepas rawatan tetapi juga melalui teknik CT perfusion di mana pergerakan agen kontras ke sel kanser dinilai secara kualitatif dan kuantitatif.
Di IPPT, penggunaan kontras agen yang lazimnya diamalkan di kebanyakan hospital telah digantikan dengan penggunaan susu segar dan air bagi memberikan perbezaan kontras dalam tisu tubuh.
Penggunaan susu dan air bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kepada pesakit seperti anaphylactic reactions, aspiration ke dalam trakea dan saluran pernafasan, hypovolemia dan hypotension tetapi juga memberi rasa yang lebih baik dan sedap berbanding rasa metalik yang sukar ditelan dengan penggunaan kontras agen.
Walaupun ada sesetengah pihak mengatakan CT scan ini berbahaya akibat radiasi yang dipancarkan, namun ianya adalah sangat rendah dan tidak menyebabkan kesan sampingan pada pesakit.
Dengan adanya peralatan ini, IPPT dijangka akan menerima lebih ramai pesakit terutamanya pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan di sini. Peralatan ini dijangka akan memulakan perkhidmatannya pada 16 Februari ini dan akan memberi manfaat kepada pesakit di sekitar utara tanah air.
Oleh: Siti Zaleha Md Isa Suntingan: Faisal Jamaludin Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 6970