Skip to main content

KLUSTER PERUBATAN INTEGRATIF TEROKAI ROYAL BELUM

Royal Belum

GERIK, 17 Oktober 2014 - Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Program Eksplorasi Hutan Simpan Belum, Perak. Kawasan ini merupakan salah satu rizab hutan terbesar yang memiliki kekayaan flora dan fauna yang belum pernah diterokai di Semenanjung Malaysia.

Royal Belum dipilih sebagai lokasi untuk menjalankan eksplorasi ini kerana dianggarkan ia memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat.

Program selama tiga hari ini diketuai oleh Dr. Lim Vuanghao yang juga merupakan Ketua Kluster Perubatan Integratif, IPPT. Seramai 14 orang peserta yang terdiri daripada Pensyarah, Pegawai Penyelidik, Pegawai Sains dan staf sokongan turut bersama-sama dalam program ini.

Tujuan utama eksplorasi ini diadakan ialah untuk menjalankan penyelidikan dokumentasi perubatan herba, kajian soal selidik orang asli dan penyediaan herbarium tumbuhan herba.

Dalam eksplorasi ini, para penyelidik mendapat kerjasama daripada penduduk orang asli dengan dibantu oleh Encik Badrul Hisham dari Jabatan Kemajuan Orang Asli, Daerah Hulu Perak dan Baling. Tiga perkampungan orang asli telah dilawati sepanjang eksplorasi tersebut antaranya ialah Kampung Aman Damai, Kampung  Seri Wangi dan Kampung Sungai Tiang.

Mereka menemubual penduduk orang asli dan pengamal perubatan tradisional di situ bagi mendapatkan maklumat berkenaan kaedah perubatan serta tumbuhan herba yang digunakan sebagai tujuan perubatan.

Kluster Perubatan Integratif adalah salah sebuah daripada 6 kluster yang diwujudkan di IPPT bagi menjalankan kajian perubatan herba dan menggabungkan unsur-unsur perubatan sampingan dan alternatif ke dalam pelan rawatan yang komprehensif bersama-sama dengan kaedah moden dalam mendiagnos dan merawat pesakit.

 

Teks: Faisal Jamaludin   / Foto: Kluster Perubatan Integratif

  • Last updated on .
  • Hits: 2355