Skip to main content

BIDANG PERUBATAN ANTARA BIDANG YANG DIMINATI PELAJAR

 MG 8207

BERTAM, 21 Ogos 2014 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menerima lawatan kerjaya daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Lawatan setengah hari ini disertai oleh seramai 40 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring yang bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kerjaya dalam bidang perubatan dan kesihatan yang boleh diceburi sebagai salah satu cabang kerjaya masa hadapan pelajar. 

Menurut En Rahim Jumat, Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, para pelajar ini memerlukan bimbingan dan panduan tentang laluan kerjaya yang boleh diikuti untuk menceburi bidang kesihatan dan perubatan ini. Dalam pada masa yang sama juga, ia mampu untuk meningkatkan minat dan semangat pelajar untuk belajar dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai impian mereka.

Dr. Hasni Arsad, Pensyarah Kluster Infektomik IPPT telah memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kerjaya dalam Bidang Sains dan Encik Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid, Pegawai Penerangan menyampaikan taklimat serba ringkas berkenaan IPPT.

Sesi perkongsian pengalaman juga turut diadakan bersama Dr. Noor Khairiah A. Karim dimana beliau memberi tips-tips yang berguna kepada para pelajar bagaimana untuk menjadi seorang Doktor atau Pegawai Perubatan.

Dalam lawatan ini juga, para pelajar dibawa melihat peralatan dan kemudahan yang terdapat di Kompleks Klinikal IPPT. Dengan penerangan yang diberikan oleh kakitangan yang bertugas, para pelajar ini dapat mengenali dengan lebih dekat keperluan dan kegunaan peralatan moden yang digunakan dalam bidang perubatan.

 

Teks : Faisal Jamaludin / Foto : Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 3547