Skip to main content

PAKAR BEDAH USM BERJAYA LAKSANAKAN PEMBEDAHAN RESEKSI HATI PERTAMA DI IPPT

PEMBEDAHAN PERTAMA 2020

BERTAM, 9 April 2020 – Buat julung kalinya Unit Dewan Bedah, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya melakukan pembedahan ‘Left Lateral Sectionectomy of Liver’ untuk pesakit kanser payudara yang kansernya telah merebak ke hati, pada 7 April yang baru berlalu.  

Pasukan pembedahan diketuai oleh Dr. Leow Voon Meng dan terdiri daripada 2 orang Pakar Bedah iaitu Dr. Leow sendiri [Pakar Perunding Hepato-pankreato-biliari (HPB) dan Bedah Am] dibantu Dr. Fitreena Anis Amran (Pakar Bedah Am).

PEMBEDAHAN PERTAMA 2020 2 

Selain itu, pasukan tersebut juga merangkumi 2 orang Pakar Bius iaitu Dr. Zainab Abdul Ghaffar (Pakar Perunding Pembiusan) dan Dr. Chong Soon Eu (Pakar Bius), 2 orang Pegawai Perubatan Pembiusan, 2 orang Ketua Jururawat, 6 orang Jururawat dan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan.

Keputusan untuk melakukan pembedahan itu dibuat setelah perbincangan secara terperinci dan menyeluruh mengenai keadaan pesakit diadakan di antara Unit Radioterapi & Onkologi, Unit Imejan dan Unit Surgeri. 

Pembedahan tersebut juga mendapat persetujuan pesakit setelah prosedur dan komplikasi pembedahan diterangkan. Pembedahan dilakukan di bawah pembiusan am dan mengambil masa selama 2 jam 30 minit. 

Hasil penemuan pembedahan mendapati bahagian kiri hati pesakit (segmen II dan segmen III) mempunyai ketumbuhan yang mana ketumbuhan tersebut berada pada cabangan saluran darah yang penting seperti yang tertera pada CT scan yang telah dilakukan sebelum pembedahan. 

Sebahagian daripada hati pesakit iaitu ‘left lobe’ telah dibuang dan 2 nodul (ketumbuhan) yang berkemungkinan kanser juga telah dibuang iaitu; i) di selaput antara perut dan hati kiri (gastrohepatic ligament) dan ii) di Common Hepatic Artery.

Selepas pembedahan tamat, pesakit berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, IPPT untuk pemantauan yang efisien.

Pembedahan berkenaan berjaya dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Hospital Sultanah Bahiyah yang memberi pinjaman alatan yang diperlukan untuk pembedahan HPB memandangkan peralatan Unit Dewan Bedah IPPT belum dilengkapi sepenuhnya bagi membolehkan pembedahan hati dilakukan di IPPT. 

Dr. Leow dan pasukannya telah berjaya mewujudkan Unit Dewan Bedah pada tahun 2014 dan perkhidmatan Endoskopi pada tahun 2016 di IPPT, selain itu Dr Leow turut aktif menyumbang tenaga kepakaran serta melakukan kajian-kajian klinikal di Unit HPB, Jabatan Surgeri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah semenjak 2013.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam pembedahan ‘liver and kidney procurement’ dan ‘liver transplantation’ dari masa ke semasa yang dipusatkan di Hospital Selayang.

Beliau merupakan pakar rujukan bagi kes-kes pembedahan dan endoskopi (ERCP) elektif dan kecemasan untuk hati, pankreas dan hempedu dari hospital-hospital KKM wilayah utara Semenanjung Malaysia (Perlis, Perak dan Pulau Pinang). 

Beliau juga merupakan pakar pelawat bulanan ke Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sejak 2015 untuk menubuhkan Unit HPB, melakukan kajian klinikal, melatih, mengajar pakar bedah serta pelajar-pelajar M.Med. 

Dr. Leow turut membantu menubuhkan Persatuan Pakar-Pakar Bedah Hepato-Pankreato-Biliari Malaysia pada tahun 2019 dan memegang jawatan sebagai Bendahari. 

Beliau telah menjadi pengerusi 3rd HPB Symposium yang bertaraf antarabangsa pada tahun 2018 dan mengendalikan bengkel-bengkel National Hands-on Laparoscopic Cholecystectomy untuk pakar-pakar bedah muda Malaysia di Hospital Sultanah Bahiyah dan Basic Surgical Skills untuk para doktor siswazah dari wilayah utara Semenanjung Malaysia di IPPT, USM.

Berdasarkan kepakaran dan keupayaan staf sedia ada, adalah amat rugi sekiranya IPPT tidak mengambil peluang untuk mengembangkan perkhidmatan pembedahan hepatobiliari. Ini adalah kerana IPPT hanya perlu menambah beberapa alatan pembedahan bagi melengkapi unit ini.

IPPT juga berpeluang untuk menawarkan pengajian sub-kepakaran dalam bidang HPB dan penyelidikan yang khusus mengenai penyakit kanser HPB sekiranya peralatan Unit Dewan Bedah dilengkapi sepenuhnya.

Buat masa ini, tidak banyak pusat perubatan di negara kita menjalani pembedahan kes HPB secara aktif kerana ia memerlukan personel perubatan yang sangat mahir dan terlatih dalam mengendalikan prosedurnya. Cuma empat hospital yang mampu melakukan pembedahan ini secara aktif iaitu Hospital Selayang (Selangor), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Sultanah Aminah (Johor) dan Hospital Umum Kuching (Sarawak).

 

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah [dari sumber asal: Dr. Fitreena Anis Amran (IPPT)]

 

 

  • Last updated on .
  • Hits: 1386