Skip to main content

PENULARAN COVID-19, MASYARAKAT PERLU LEBIH PEKA

Forum Covid 19

BERTAM, 19 Februari 2020 – Masyarakat dunia hari ini telah dikejutkan dengan penularan koronavirus yang boleh membawa maut. Paling membimbangkan, penularan koronavirus ini tersebar dengan begitu cepat ke seluruh dunia dengan jumlah kes kematian dan jangkitan terus meningkat setiap hari.

Koronavirus baru yang dikenali sebagai Coronavirus 2019 (COVID-19) telah mula dilaporkan di Wuhan, China pada Disember 2019 dan sehingga hari ini jangkitannya menjangkau 28 negara termasuk Malaysia.

Menurut Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Muhammad Amir Yunus, COVID-19 tersebar luas dengan cepat adalah kerana faktor mobiliti, dan mereka yang dijangkiti bergerak ke seluruh dunia.

“Mereka yang dijangkiti COVID-19 biasanya akan mempunyai simptom selsema, demam dan batuk yang sama dengan simptom virus biasa. Namun, ada juga yang tidak mempunyai simptom langsung tetapi dijangkiti COVID-19. Inilah puncanya virus ini tersebar dengan pantas dan meluas,” katanya.

“Koronavirus ini sebenarnya adalah jangkitan zoonosis yang sememangnya terdapat pada haiwan liar seperti kelawar. Apabila manusia yang mempunyai imun rendah berkontak secara langsung dengan haiwan ini, virus tersebut akan bermutasi kepada manusia,” jelasnya lagi.

Bagi Pakar Pediatrik/Kanak-kanak IPPT, Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim pula, beliau berpendapat bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mendapatkan rawatan awal sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan virus.

“Antara tanda-tanda jangkitan virus dalam kalangan kanak-kanak ialah batuk, selsema dan sakit tekak. Virus secara umumya akan menyerang bahagian paru-paru dan akan mengganggu sistem pernafasan. Perhatikan anak-anak anda, sekiranya cara pernafasan berubah, muka kelihatan pucat, segera dapatkan rawatan di hospital,” katanya.

“Mereka yang berisiko diserang virus adalah seperti bayi di bawah umur 5 tahun, orang dewasa berumur 65 ke atas, pesakit kronik dan mereka yang mempunyai imunisasi rendah seperti pesakit kurang daya imun (PID), pesakit kanser dan mereka yang mengambil ubat seperti steroid,” jelasnya lagi.

Mereka berkata demikian dalam satu forum ‘Professional Talk Series’ anjuran Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS), IPPT USM bertajuk “Selamatkah Anak-anak Kita dengan Penularan Jangkitan Virus?”, yang berlangsung pada 14 Februari lalu, dengan pensyarah Kluster Sains Gaya Hidup IPPT, Dr. Mohd Afifuddin Mohamad sebagai moderatornya.

Hampir 200 orang hadir dalam program ini yang turut dibuka kepada orang awam.

Program ini diadakan bermatlamat untuk memberikan maklumat dan pencerahan mengenai virus yang mampu memberi kesan buruk kepada manusia terutamanya Coronavirus 2019 (COVID-19) serta langkah-langkah pencegahan jangkitan untuk diri dan keluarga.

Sementara itu, Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, IPPT bukan sahaja institusi pendidikan dan perubatan malah merupakan institusi penyelidikan yang mampu menjadi platform untuk menyebarkan ilmu pengetahuan.

“Melalui program ini, IPPT dapat dijadikan sebagai wadah pertemuan antara warga IPPT dan komuniti setempat untuk lebih memahami dan membantu dari aspek kesihatan,” katanya ketika berucap di program berkenaan.

Para hadirin turut didedahkan dengan langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti penggunaan penutup mulut dan hidung (face mask), amalan kebersihan diri dan demonstrasi 7 langkah membasuh tangan yang betul menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer oleh jururawat-jururawat IPPT.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arshad.

 

Teks: Wan Ezrin Irdina Wan Azhar (pelajar praktikal) & Faisal Jamaludin / Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 604