Skip to main content

SALAM AIDILFITRI 1435 HIJRAH

Perutusan Aidilfitri 2014 3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar


Pertama sekali marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah berada di penghujung bulan Ramadhan dan beberapa hari lagi akan menyambut hari raya aidilfitri. Sama-sama kita berdoa agar semua amalan diterimaNya,  dipanjangkan umur dan akan bertemu lagi pada Ramadhan tahun hadapan.


Warga IPPT yang dikasihi sekalian,
Hari raya aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang telah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan serta amalan soleh yang lain. Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah asal kejadian kita dan seumpama seperti mana bayi yang baru dilahirkan. Hasil daripada tarbiah di bulan Ramadhan ianya telah berjaya membersihkan hati dan jiwa serta membentuk rohani supaya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa. Oleh yang demikian, bagi menyambut hari raya aidilfitri saya ingin menyeru seluruh warga IPPT untuk terus menghayati semangat Ramadhan serta bersederhana dalam semua perkara dan mengamalkan budaya berjimat cermat. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing untuk mengelakkan pembaziran.


Pada hari raya aidilfitri amat digalakkan kita untuk saling ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Lupakan segala sengketa dan jalinkan kembali hubungan silaturrahim sesama kita. Bagi mereka yang hendak pulang beraya jauh pandulah dengan berhati-hati dan pastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik. Saya doakan semoga selamat sampai ke kampung halaman masing-masing dan selamat kembali bertugas nanti. Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa pulanglah berhari raya bersama-sama dengan mereka dan gembirakanlah mereka. Hal ini kerana kepulangan anda amat mereka nantikan.


Kepada pensyarah dan pelajar IPPT yang kini berada di perantauan atas tanggungjawab menuntut ilmu teruskanlah usaha untuk mencapai kejayaan. Selamat menyambut hari raya di perantauan, tabahkan hati dan kuatkan semangat. Kami warga IPPT sentiasa mendoakan agar anda semua selamat dan berjaya dalam lapangan masing-masing.


Sebagai penutup saya ingin mengajak seluruh warga IPPT untuk merakamkan ucapan takziah dan sedekahkan surah Al-Fatihah kepada rakyat Malaysia yang telah terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 17 pada 17 Julai 2014 bersamaan 19 Ramadhan 1435 Hijrah yang amat memilukan. Salah seorang yang turut terkorban adalah calon pensyarah USM iaitu Allahyarham Mohd Ali Md Salim, yang sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam, Belanda. Sesungguhnya pemergian beliau adalah merupakan satu kehilangan besar kepada USM dan juga Negara.


Seterusnya di sebalik kegembiran menyambut hari raya bersama sanak saudara jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan pertolongan dan bantuan kepada umat Islam khususnya di Palestin sekarang yang sedang dilanda peperangan dan kezaliman. Ayuh kita sambut hari kemenangan ini dengan memperbanyakkan tasbih, takbir, istighfar dan tahmid sebagai pelengkap kepada hari kemenangan yang diraikan dan mari sama-sama kita meneruskan roh Ramadhan dengan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal serta meneruskan amalan baik di setiap ketika.


Akhir kata saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat dengan lafaz Minal Eidin Walfaizin wal Maqbulin.


Maaf Zahir dan Batin


Ikhlas daripada
Profesor Abd Aziz Tajuddin
Pengarah
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia

  • Last updated on .
  • Hits: 2558