Skip to main content

SYARIKAT KORPORAT SUMBANG PERALATAN PERUBATAN

WD Foundation

BERTAM, 10 Julai 2014 - Western Digital Malaysia (WDM), sebuah syarikat pengeluar komponen komputer telah menyumbangkan peralatan perubatan sokongan kepada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumbangan menerusi Program “WD Caring Foundation” (WDCF) itu telah disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia WDM, Encik Mohd Fitri Khairudin kepada Prof. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT di Lobi Kompleks Penyelidikan Klinikal (CTC), IPPT, USM.

Ini merupakan projek kedua Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Sokongan yang di uruskan oleh Unit Kerja Sosial Perubatan IPPT. Majlis ringkas tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Muhammad Yusri Musa, Pengurus Kanan (Perubatan & Penyelidikan Klinikal), Dr. Eshaifol Azam Omar, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Encik Mohd Razmy Mohd Yusof, Pegawai Penerangan, En Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid serta beberapa kakitangan IPPT dan Western Digital Malaysia.

Encik Mohd Fitri berkata, “sumbangan berkenaan melambangkan komitmen WDM sebagai korporat yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja kebajikan di Malaysia.”

“Pemilihan IPPT USM sebagai penerima sumbangan adalah kerana rekod kecemerlangan yang ditunjukkan institusi ini dalam memberi khidmat penjagaan kesihatan,” tambahnya lagi. Beliau juga sempat mengajak orang ramai supaya bersama-sama meneruskan usaha menyumbang bagi membantu pesakit miskin yang memerlukan sokongan bantuan.

Peralatan-peralatan berkenaan akan ditempatkan di Unit Kerja Sosial IPPT khusus bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan membeli kemudahan peralatan tersebut. Antara peralatan yang disumbangkan adalah Standard Wheelchair, Oxygen Concentrator, Suction Pump, Ripple Mattress, Elbow Crutch Adult, Crutches & Walking Frame yang di anggarkan bernilai RM 12,000.00.

Mohd Fitri dan kira-kira lapan kakitangan WDM yang lain turut dibawa melawat kemudahan-kemudahan perubatan moden yang terdapat di Kompleks Klinikal ini.

Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Sokongan adalah sebuah usahasama yang strategik di antara pihak Pertubuhan Pesakit Parah Miskin Malaysia, WDM dan IPPT USM. Majlis ini adalah merupakan projek perintis dan dengan izin Allah SWT, projek-projek lain akan menyusul selepas ini. Semoga Pertubuhan Pesakit Parah Miskin Malaysia & WDM akan terus dinamik mengumpul dana dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, dan budaya.

“WD Caring Foundation” (WDCF) dibiayai oleh Western Digital (M) Sdn. Bhd dan disokong oleh kakitangan WD dari pelbagai peringkat jawatan di dalam organisasi. Mereka secara sukarela membantu untuk kerja-kerja kemasyarakatan dan perkhidmatan. Yayasan ini diwujudkan bertujuan untuk mendekati semua kaum dan keutamaan diberikan kepada bidang pendidikan, kesihatan dan kemanusiaan.

 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 2228