Skip to main content

2000 PENGUNJUNG HADIRI KARNIVAL HARI KANAK-KANAK SEDUNIA

023

KEPALA BATAS, 5 Oktober 2019 - Karnival Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Seberang Perai Utara 2019 yang telah berlangsung baru-baru ini oleh Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menarik kehadiran hampir 1000 orang pengunjung.

Karnival sehari ini diadakan adalah berasaskan kepada tanggungjawab sosial korporat yang bermatlamat untuk menghargai peranan kanak-kanak dalam keluarga dan masyarakat serta menerapkan aktiviti-aktiviti yang sihat dan bermanfaat kepada kanak-kanak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Negeri Pulau Pinang, YB. Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Turut hadir ialah Pengarah IPPT, USM, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman; Pengerusi Program, Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan; Presiden Persatuan Pesakit Imunodefisiensi Primer Malaysia, Encik Bruce Lim; Pakar Pediatrik Imunologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Prof. Dr. Lokman Mohd Noh ; Wakil Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Puan Nuraisyah Hajjar Ismail; Pengerusi Rangkaian Tadika Perintis Kecil, Encik Ahmad Basirun Abu Bakar serta Pengurus CSL Behring, Encik Gary Lim.

Menurut Pengerusi Program, Dr Suria Emilia Suhana Othman Tan yang juga merupakan Pakar Kanak-kanak IPPT, program ini memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk bersama anak-anak melakukan pelbagai aktiviti yang diadakan.

“Program ini diharapkan dapat membuka minda ibu bapa serta masyarakat setempat mengenai kepentingan memelihara serta mendidik kanak-kanak agar dapat menjadi warga yang berbakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

“Di samping itu, program ini akan meraikan kanak-kanak istimewa dan yang kurang bernasib baik agar mereka dapat merasa dihargai dan disayangi oleh masyarakat. Pelbagai aktiviti yang kita adakan pada hari ini adalah bertujuan untuk merangsang minda kanak-kanak selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.” tambahnya lagi.

Antara aktiviti yang diadakan menerusi karnival ini ialah Bunny Kids Fun Walk yang mendapat penyertaan hampir 700 orang peserta. Aktiviti berjalan kaki sejauh 3 km ini melibatkan penyertaan ibu bapa dan anak-anak yang turut diserikan dengan kehadiran kostum watak-watak kartun yang menarik.

Selain itu terdapat juga aktiviti yang mengasah bakat kanak-kanak seperti Bengkel Asas Robotik, Mencanting Batik, Persembahan Kanak-kanak, Pertandingan Bintang Aulad serta pelbagai permainan yang menyeronokkan. Terdapat juga tayangan filem perdana bertajuk “Do Something”, anjuran bersama Persatuan Pesakit Immunodefisensi Prime Malaysia yang disertai oleh 210 pengunjung.

Pada program yang sama juga, Timbalan Ketua Menteri 1 turut merasmikan Perkhidmatan Rawatan & Diagnostik Penyakit Imunodefisensi Primer (PID). Secara ringkasnya, penyakit PID ialah Penyakit Kurang Daya Imun sejak lahir. Penyakit ini memerlukan diagnosis dan rawatan peringkat awal dalam usaha menyembuhkan pesakit dan menyelamatkan nyawa. IPPT kini adalah merupakan institusi pertama di Malaysia yang mempunyai kumpulan PID yang lengkap terdiri daripada pakar kanak-kanak imunologi iaitu Dr. Intan Juliana Abd Hamid, dan pakar penyelidik saintis Dr. Zarina Thasneem Zainudeen dan Dr. IIie Fadzilah Hashim serta menjadi rujukan bagi penyakit ini di wilayah utara termasuk dari Kelantan dan Terengganu.

Seterusnya, turut diadakan Seminar Penyakit Imunodefisensi Primer 2019 anjuran bersama CSL Behring pada 3 Oktober 2019 yang dihadiri oleh 45 orang pakar perubatan, pegawai perubatan dan jururawat terlatih daripada hospital-hospital wilayah utara Semenanjung Malaysia. Seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengamal perubatan tentang penyakit imunodefisensi primer agar pesakit boleh dikesan awal.

 

Teks : Mohd Faisal Jamaludin | Foto : Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 846