Skip to main content

IOMPS2019 PLATFORM PERKONGSIAN ILMU KEPAKARAN ONKOLOGI

Onkology 2019

GEORGETOWN, 1 Mac 2019 - Persidangan 2nd AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium (IOMPS) 2019 yang berlangsung pada 1 Mac 2019 dan berakhir hari ini merupakan simposium onkologi dan fizik perubatan bertaraf antarabangsa dan kedua terbesar negara.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Kementerian Kesihatan komited untuk mengawal dan mencegah penyakit kanser ini dalam mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini.

“Pencegahan dan pengawalan penyakit ini dapat dicapai dengan adanya kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan bagi mewujudkan platform yang kuat dalam mengawal penyakit ini dengan berkesan.”

“Ketika ini negara hanya mempunyai 115 pakar onkologi dan daripada jumlah itu 42 pakar berkhidmat di hospital kerajaan manakala 73 lagi di sektor swasta, katanya.”

“Kementerian Kesihatan memerlukan lebih banyak pakar kerana nisbah ideal adalah lapan hingga 10 pakar onkologi perjuta orang. Jika populasi Malaysia 34 juta, nisbah semasa berada pada 3.4 pakar onkologi setiap satu juta orang. Ia adalah sangat rendah berbanding nisbah ideal,” tambahnya lagi ketika berucap merasmikan simposium ini hari ini.

Simposium kali ini telah berjaya menarik lebih 320 orang peserta dari 15 buah negara. Lebih daripada 50 pakar antarabangsa dalam bidang kajian atau rawatan kanser akan menjadi panel dalam simposium ini.

Yang turut hadir dalam majlis berkenaan ialah YB Dr. Afif Bahardin Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Presiden Persatuan Onkologi Malaysia Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar, Profesor Richard Cowan Pengarah Pendidikan The Christie NHS Foundation Trust dan Dr. Shazril Imran Shaukat Pengerusi Simposium IOMPS 2019.

 

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Last updated on .
  • Hits: 451