Skip to main content

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA MENJALINKAN KOLABORASI DENGAN PUSAT KANSER TERKEMUKA DUNIA

Onkology 2019 2

GEORGETOWN, 1 Mac 2019 – Dalam usaha menyumbang kepada perkembangan rawatan dan kajian kanser di Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah berjaya menjalinkan kolaborasi dengan The Christie NHS Foundation Trust (CNFT) Manchester, United Kingdom iaitu salah sebuah pusat kanser terkemuka dunia dan terbesar di Eropah.

Majlis penandatanganan Memorandum Persetujuan (MoA) antara USM dan CNFT telah disaksikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sempena majlis perasmian 2nd AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium (IOMPS) 2019.

USM telah diwakili oleh Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed FASc, Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi manakala CNFT diwakili oleh Profesor Richard Cowan, Pengarah Pendidikannya.

Melalui kolaborasi ini USM dan The Christie NHS Foundation Trust buat julung kalinya di Asia menganjurkan The Christie Fellow Royal College of Radiologists (FRCR) Part 2B Clinical Oncology Preparatory Course iaitu kursus persediaan untuk peperiksaan akhir kepakaran dalam bidang onkologi klinikal di United Kingdom yang bertujuan untuk memberikan persediaan dan pendedahan kepada calon sebelum menduduki peperiksaan FRCR Part 2B Clinical Oncology yang sebenar.

Kursus “The Christie FRCR 2B Preparation Course” telah diadakan di Kompleks Penyelidikan Klinikal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 27 dan 28 Februari 2019. Seramai 15 orang peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai kursus ini.

Pemeriksa bagi kursus ini adalah merupakan perunding berpengalaman dari The Christie NHS Trust Foundation dan pakar perunding tempatan dari Asia termasuk Malaysia yang berpengalaman dalam FRCR sebelumnya. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada USM khususnya dan juga kepada Malaysia amnya kerana mendapat kepercayaan pihak The Christie untuk menjadi tuan rumah kepada kursus ini.

 

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 473