Skip to main content

HAMPIR 800 PESERTA SERTAI ‘COMBAT CANCER RUN’

Lavender June

BERTAM, 22 Jun 2019 – Hampir 800 peserta menyertai ‘Combat Cancer Run’ bersempena Program ‘Cancer Survivors Week - Lavender June’ 2019 yang diadakan bertujuan untuk memberi penghormatan kepada pesakit kanser dalam mengatasi penyakit ini sekaligus dapat meningkatkan kesedaran orang awam tentang penyakit kanser.

Larian anujuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga turut memperkenalkan peranan IPPT kepada masyarakat sebagai sebuah institusi yang giat menjalankan rawatan perubatan terhadap penyakit kanser.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Pulau Pinang, YB. Dr. Afif Bin Bahardin, institusi awam dan swasta perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan terhadap penyakit kanser ini dalam apa jua bentuk.

“Setiap program yang dijalankan adalah sebagai tanda sokongan kepada pesakit kanser untuk terus bersemangat dalam menghadapi kehidupan seharian dengan lebih sempurna. Tanpa sokongan dan komitmen semua pihak dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan kesedaran kanser mungkin ramai yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit berbahaya itu, katanya”

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited dalam memberikan sokongan yang penuh untuk setiap program kesihatan yang diadakan di negeri ini dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan warga Pulau Pinang khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya”, tambahnya lagi ketika berucap merasmikan program ini mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang.

Larian sejauh 5.5 kilometer itu telah disempurnakan acara pelepasanya oleh YB. Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang pada sebelah paginya.

Program ‘Cancer Survivors Week - Lavender June’ 2019 yang diadakan ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai institusi awam dan swasta bagi menjayakannya. Selain ‘Combat Cancer Run’, terdapat acara lain juga turut diadakan pada hari berkenaan antaranya ialah Cerdik Catur, Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak, ‘Street Soccer’ dan memanah.

Menerusi program ini juga, terdapat aktiviti ilmiah yang melibatkan sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang dan orang ramai sepanjang minggu ini. Antaranya ialah Program Saintis Muda & Doktor Muda, Head & Neck Oncology Masterclass dan Program Kesedaran Kanser & Pemeriksaan Kesihatan.

Dalam majlis yang sama juga, Dr. Afif turut berkenan merasmikan Perkhidmatan Onkologi dan Radiroterapi serta Perkhidmatan Mamografi Digital. Mesin ujian mamogram dalam bentuk digital dua dan tiga dimensi itu mampu memberikan imej serta keputusan yang lebih jelas berbanding mesin mamogram analog yang digunakan sebelum ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Pengarah IPPT mewakili Naib Canselor USM, Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman; Presiden, Heritage Association of Malay Massage, Tuan Syed Mahdi Syed Faozi Barakbah; Pengarah, Pusan National University, Korean Medicine Hospital, Professor Dr. Byung Cheul Shin dan Pengurus Cawangan Hunza Properties Berhad, Jonathan Chan.

 

Teks: Mohd Faisal Bin Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 506