KESIHATAN KANAK-KANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA
TASEK GELUGOR, 28 Mei 2014 – Penjagaan kesihatan kanak-kanak perlu dititik beratkan kerana mereka mudah terdedah kepada jangkitan kuman dan penyakit berjangkit. Situasi kini, di mana kedua ibu bapa terpaksa bekerja telah menyebabkan anak-anak terpaksa dihantar ke pusat jagaan harian. Masalah kesihatan kanak-kanak seperti demam, batuk dan selsema, serangan asma, penyakit kulit, demam campak, sawan antara masalah yang sering dihadapi oleh pusat penjagaan. Keadaan lebih membimbangkan sekiranya pusat tersebut padat kerana terpaksa menjaga ramai anak-anak. Maka adalah menjadi peranan ibu bapa dan pusat penjagaan untuk sama-sama memastikan anak-anak kita sihat dan terhindar daripada penyakit. IImu pengetahuan tentang kesihatan kanak-kanak perlu ditimba dari semasa ke semasa supaya anak-anak kita dibesarkan dengan panduan kesihatan yang betul.
Menyedari pentingnya penjagaan kesihatan kepada kanak-kanak, satu program ceramah kesihatan telah diadakan di Tadika Tahfiz Al-Islah, Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor baru-baru ini. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada guru dan pembantu guru telah hadir ke program ini. Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim, Pakar Kanak-Kanak IPPT. Di dalam ceramahnya Dr. Nur Arzuar telah menekankan beberapa tips penting kepada para peserta tentang cara-cara mengurus masalah kesihatan kanak-kanak di tadika. Bagi kanak-kanak yang menghadapi serangan sawan secara tiba-tiba di sekolah, guru berkenaan perlulah bertenang. Situasi cemas akan lebih berbahaya sekiranya di tangani dalam keadaan panik. Guru perlu pastikan tiada benda berbahaya disekeliling. Baringkan badan anak tersebut ke sebelah kiri supaya air liur keluar dan yang paling penting, tidak memasukkan apa-apa objek ke dalam mulut anak tersebut. Segera longgarkan pakaiannya dan jelum dengan air sekiranya suhu badannya panas dan bersedialah untuk dibawa ke hospital terdekat dengan kadar segera. Sawan boleh berpunca daripada deman panas yang berlarutan atau jangkitan pada selaput otak.
Tips berikutnya ialah berkaitan penyakit tangan, kaki dan mulut. Ianya berpunca daripada jangkitan virus coxsackie dan boleh merebak secara bersemuka. Tanda-tanda penyakit ini adalah seperti demam panas, sakit tekak, kurang selera makan, ulser di bahagian mulut dan tekak yang sakit (termasuk gusi dan lidah), Ruam dan biji-biji berair (blisters) di tapak tangan dan kaki serta punggung (kawasan lampin). Dinasihatkan, sekiranya perkara ini berlaku kanak-kanak tersebut perlulah diasingkan dan dielakkan daripada dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak hingga sembuh.
Diakhir ceramahnya Dr. Nur Arzuar telah menegaskan bahawa peranan guru dan pembantu guru amat penting dalam memastikan penjagaan kesihatan kanak-kanak yang berkesan. Hal ini disebabkan, masa kanak-kanak adalah lebih banyak dihabiskan bersama guru di tadika. Guru juga perlu proaktif dan bersikap ambil tahu kerana ada juga kanak-kanak yang mungkin menjadi mangsa penderaan fizikal di rumah. Adalah menjadi tanggungjawap guru dan pembantu guru untuk menyelamatkan anak tersebut daripada terus teraniaya. Seterusnya para peserta telah didedahkan dengan teknik pencucian tangan yang telah diguna pakai di seluruh dunia oleh Kumpulan Pencucian Tangan IPPT.
Berita : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 11642