Skip to main content

CATATAN AHMAD AMMAR : BINGKISAN BUAT PEMUDA

Ammar2

BERTAM, 7 April 2014 - Kebelakangan ini ramai yang menceritakan tentang kisah seorang pemuda yang telah mencetuskan fenomena baru di kalangan masyarakat hari ini. Kisah pemuda berusia 20 tahun ini menjadi bualan ramai selepas kembalinya ke rahmatullah dan video tentang perjalanan hidupnya telah ditonton dan dikongsikan oleh jutaan pengguna di laman sosial.

Ahmad Ammar Ahmad Azam, pemuda berusia 20 tahun yang merupakan penuntut jurusan Sejarah di Universiti Marmara, Turki telah pun kembali ke rahmatullah pada 2 November lalu akibat kemalangan jalanraya yang melibatkan sebuah ambulan dan jenazah Ahmad Ammar sangat dimuliakan di Turki.

Ujar ayah Ammar, Ahmad Azam Abd Rahman, 53 "anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ammar ialah akhlaknya” ketika menyampaikan Ceramah Perdana Semasa (CPS) anjuran Unit Hal Ehwal Islam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM di sini.

“Walaupun Ammar telah kembali ke rahmatullah pada usia 20 tahun, namun keperibadiannya harus dijadikan ikutan generasi muda masa kini dalam memperjuangkan agama Islam. Meskipun baru mencapai usia 20 tahun, iaitu saya sifatkan umur yang masih muda serta mentah, namun sudah banyak kerja dakwah yang beliau telah lakukan,” tambahnya lagi.

Ahmad Azam Abdul Rahman dan Nur Azlina Abdul Aziz, ibu bapa kepada Allahyarham Ahmad Ammar dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Catatan Ahmad Ammar : Bingkisan Buat Pemuda” di hadapan kira-kira 120 orang peserta dan berkongsi perjalanan hidup pemuda ini.

Pemergian Ammar bertemu Ilahi disifatkan sebagai Syahid yang tertangguh oleh rakan-rakan seperjuangannya. Semangatnya mengembara untuk menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mencurah bakti kepada umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama mampu menjadi contoh yang terbaik untuk setiap insan.

Beliau pernah berhasrat untuk mati Syahid semasa menjadi sukarelawan untuk menyertai misi kemanusiaan seperti di negara Syria. Apa yang lebih membanggakan, Ahmad Ammar juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam.

Ceramah Perdana Semasa ini turut dihadiri oleh Dr. Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal dan Ustaz Mohamad Shukri Osman, Pegawai Hal Ehwal Islam.

 

Teks: Faisal Jamaludin   Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2679