Skip to main content

CERAMAH KESIHATAN ORAL GALAK MURID BERUS GIGI

Gosok Gigi

BERTAM, 13 Mac 2014 - Masyarakat sekarang sering memandang remeh tentang penjagaan gigi kanak-kanak. Justeru itu, tidak hairanlah apabila gigi susu yang sepatutnya mula longgar pada usia enam tahun mengalami kerosakan dan terpaksa dicabut seawal usia tiga tahun.

Baru-baru ini, program “Jom Gosok Gigi” telah dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Bertam Indah dengan kerjasama sebuah syarikat pengeluar ubat gigi. Pihak penganjur telah menjemput Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia untuk menyampaikan ceramah tentang penjagaan kesihatan pergigian. Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Harlina Salleh, Pegawai Pergigian dan dibantu oleh Cik Najahatul Juhaida Ibrahim, Jururawat Pergigian.

Pada program tersebut, seramai 800 orang murid telah mengikuti sesi ceramah dan demonstrasi memberus gigi.

Matlamat utama penganjuran program “Jom Gosok Gigi” ini adalah untuk memberi kesedaran kepada murid-murid kepentingan penjagaan kesihatan pergigian bermula usia kecil.

Selain itu, program ini merupakan aktiviti berterusan yang dilakukan oleh Sekolah Kebangsaan Bertam Indah pada waktu persekolahan, di mana pihak sekolah akan memastikan semua murid-murid akan mengosok gigi sebelum memulakan sesi pengajian mereka.

Bak kata pepatah “Melentur Buluh Biarlah dari Rebung”, amalan inilah yang perlu dilakukan oleh setiap sekolah bagi memastikan penjagaan kesihatan pergigian bermula sejak bangku sekolah. Adalah diharapkan dengan program seumpama ini akan dapat memberikan ilmu baru kepada murid-murid tentang kepentingan penjagaan kesihatan pergigian.

 

Teks: Nurul Khairul Atiqah Rashidi (Pelajar Latihan Industri)    Foto: Kinik Kesihatan Oral

  • Last updated on .
  • Hits: 5111