Skip to main content

DURI TUJUH PAMER AKSI CEMERLANG PADA HWS 2017

HWS2017

KUBANG KERIAN, 20 Ogos 2017 – Hari Warga Staf 2017, Universiti Sains Malaysia telah melabuhkan tirainya malam semalam dengan menyaksikan Kontinjen Duri Tujuh IPPT dinobatkan sebagai Naib Juara keseluruhan HWS 2017. Juara disandang oleh Kontinjen Misai Kucing dan tempat ketiga Kontinjen Jarum Mas yang kedua-duanya daripada Kampus Kesihatan.

Keputusan keseluruhan diumumkan pada persembahan Malam Kebudayaan yang turut menyaksikan Kontinjen Duri Tujuh mendapat tempat ketiga menerusi persembahan teater bertajuk Raja Bersiung.

Kontinjen Duri Tujuh selaku Naib Juara Keseluruhan HWS 2017 membawa pulang wang tunai RM 750.00 dan RM500.00 untuk tempat ketiga persembahan Malam Kebudayaan.

Bagi Kontinjen Duri Tujuh, kejayaan ini adalah satu yang amat bermakna kerana ia mencerminkan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga IPPT. Walaupun IPPT merupakan kontinjen terkecil berbanding kontinjen lain, ia bukan penghalang untuk bersaing dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar yang juga ketua Kontinjen Duri Tujuh merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen IPPT kerana menunjukkan prestasi cemerlang dalam HWS 2017.

“Saya bagi pihak IPPT merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah kerana berjaya mendapat tempat kedua secara keseluruhan. Kepada pasukan dan individu yang berjaya syabas saya ucapkan. Kita berjaya buktikan walaupun kita tak ramai tapi hebat,” katanya.

Kontinjen IPPT cemerlang dalam dua acara iaitu Treasure Hunt (Explorace) dan Tarik Tali. Bagi acara tarik tali, IPPT berjaya menewaskan pencabar tradisi mereka di peringkat akhir, Kontinjen Jarum Mas daripada Kampus Kesihatan.

Pasukan Masterchef IPPT juga tidak kurang hebatnya apabila dinobatkan Naib Johan Pertandingan Masterchef dengan mempertaruhkan hidangan Nasi Kukus Pantai Timur, Ayam Goreng Berempah Mek Kelate, Daging Kerutuk Cahaya Bulan dan beberapa menu sampingan lain.

Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia edisi kali ini telah diadakan di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian selaku tuan rumah. Program yang diadakan sejak tahun 1999 merupakan salah satu aktiviti rasmi Universiti bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara warganya daripada Kampus Kesihatan, Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan IPPT Kampus Bertam.


Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Kontinjen Duri Tujuh

  • Last updated on .
  • Hits: 1111