Skip to main content

IPPT LANCAR MANUAL PERATURAN KESELAMATAN BEKERJA DI MAKMAL

Pelancaran Manual Makmal

BERTAM, 17 Ogos 2017 – Keselamatan di tempat kerja adalah merupakan satu perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan oleh semua pihak. Perkara ini adalah selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Menyedari tentang kepentingan aspek keselamatan di tempat kerja, Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat (MPB) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif menerbitkan Manual Peraturan Keselamatan Bekerja Dalam Makmal yang bertujuan untuk memberi panduan dan mengurangkan risiko kemalangan ketika bekerja.

Buat julung kalinya manual ini diterbitkan oleh MPB dengan kerjasama semua makmal penyelidikan di IPPT.

Menurut Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar yang dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana akhirnya usaha untuk menerbitkan manual ini telah berjaya direalisasikan.

"Saya sangat berharap agar manual ini akan menjadi rujukan utama kepada semua pengguna makmal dan tidak sekadar menjadi bahan bacaan semata-mata tetapi yang paling penting sekali ialah ianya dipraktikkan. Hal ini kerana kecuaian dan ketidakpatuhan terhadap peraturan kerja di makmal akan mengakibatkan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini," katanya.

“Penyediaan manual ini adalah bertujuan untuk memberikan maklumat terkini kepada pengguna berkenaan peraturan keselamatan dalam makmal. Melalui manual seumpama ini adalah diharapkan ianya akan dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna dalam makmal dan pada masa yang sama menerapkan budaya kerja yang selamat bagi menyumbang ke arah penghasilan output penyelidikan dan pembelajaran yang berkualiti. Amalan keselamatan yang optimum bukan sahaja akan menjamin keselamatan pengguna bahkan akan memastikan kesahihan data dan menyumbang kepada dapatan hasil penyelidikan yang mantap,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama turut diadakan sesi taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh Mantan Ahli Lembaga Gabenor USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly dan Pensyarah Kanan IPPT Dr. Jahangir Kamaldin.

Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly yang juga merupakan Ahli Pakar Keselamatan Kimia USM telah diberi penghormatan untuk melancarkan manual tersebut dengan moto “Safety By Choice, Not By Chance, Safety Starts With Me”.

Turut hadir ke majlis ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan & Jaringan Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Akademik & Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Ketua-ketua Kluster, Pensyarah, Pengurus-pengurus Makmal dan staf makmal.

 

Teks: Sallehuddin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1011