PROGRAM SAINTIS MUDA CETUS MINAT PELAJAR DALAM SAINS
BERTAM, 14 Nov 2013 – Masalah kemerosotan minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah ke tahap yang sangat kritikal sepertimana yang telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Januari 2012. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini juga telah mengumumkan untuk menyalurkan 40 peratus pelajar lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 ke dalam aliran sains secara automatik oleh Lembaga Peperiksaan bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Program Saintis Muda yang dianjurkan oleh Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia menerusi Kluster Perubatan Integratif adalah merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan minat pelajar mengikuti bidang sains. Ini juga dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar betapa pentingnya bidang sains dalam mengharungi dunia yang semakin maju masa kini.
Program anjuran bersama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarkat (BJIM) IPPT dengan jalinan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang ini melibatkan seramai 40 orang pelajar dari 20 buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang.
Dr Shahrul Bariyah Sahul Hamid, Timbalan Pengarah Akademik IPPT berkata, “inisiatif mengadakan Program Saintis Muda yang kali kedua diadakan ini diharapkan dapat menjadikan IPPT sebagai institusi yang melestarikan ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang.”
"Pelajar perlu diberikan pendedahan yang berterusan bagi meningkatkan minat mereka dalam bidang ini. Bidang ini amat penting pada zaman sekarang dan Kementerian Pendidikan juga telah menyatakan bahawa pelajar aliran sains dan teknologi akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk di USM sendiri yang menekankan keperluan bidang ini," tambahnya lagi.
Program yang diadakan selama dua hari ini akan melibatkan sesi ceramah, lawatan ke makmal penyelidikan yang terdapat di IPPT serta pelajar juga turut didedahkan kepada pengalaman sebenar melakukan ujikaji makmal berkaitan teknologi DNA dan Bioinformatik. Melalui pengisian tersebut, para pelajar dapat merasai keghairahan untuk mempelajari sains seterusnya meneroka alam sains yang menyeronokkan serta penuh dengan cabaran.
Sesi motivasi dan ceramah kerjaya sebagai saintis telah menjadi pencetus kepada para pelajar untuk berusaha dan belajar bersungguh-sungguh terutamanya di dalam matapelajaran sains.
Usaha serius IPPT untuk mencetus minat pelajar sekolah dalam bidang sains dan teknologi tidak terhenti di sini, malah kajian terperinci terhadap keberkesanan program ini akan dilakukan untuk dijadikan asas kepada perancangan program seumpama ini di masa hadapan.
Turut hadir di dalam majlis itu ialah Dr. Jahangir Kamaldin, Pengerusi Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) IPPT, Encik Mohd Zakaria Zain, Penolong Pengarah Bimbingan & Kaunseling (Unit HEM), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dr. Lim Vuanghao Ketua Kluster Perubatan Integratif IPPT, Dr. Hasni Arsad, Pengerusi Program Saintis Muda Sekolah-sekolah Menengah, guru-guru pengiring dan juga para pelajar.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 4557