Skip to main content

KOLOKIUM PASCASISWAZAH MEDAN PERKONGSIAN PENYELIDIKAN

Kolokium Postgraduate 2017

BERTAM, 25 Julai 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menganjurkan "The 3rd AMDI Postgraduate Colloquium 2017" yang diadakan di Kompleks Penyelidikan Haiwan di sini bermula hari ini selama dua hari.

Kolokium yang dianjurkan ini bertujuan sebagai platform bagi semua pelajar Ijazah Tinggi di IPPT untuk berinteraksi dengan berkongsi hasil penyelidikan dan membincangkan trend semasa serta masa depan dalam bidang penyelidikan mereka.

Menurut Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar IPPT, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, penganjuran kolokium ini seharusnya dijadikan medan untuk bertukar idea dengan ahli akademik dan mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang penyelidikan.

“Menerusi kolokium ini kita akan melihat para penyelidik muda dari institut ini mempamerkan kebolehan penyelidikan yang telah dipupuk semasa mereka di sini dan berkongsi penemuan menarik mereka,” katanya.

“Saya amat berharap agar kolokium ini akan memberikan pengalaman yang amat berharga kepada semua peserta seterusnya dapat menyumbang kepada kerjasama dan pembangunan penyelidikan pada masa hadapan,” tambahnya lagi ketika berucap merasmikan kolokium berkenaan.

Program dua hari ini menampilkan 4 orang penceramah jemputan dari dalam dan luar negara antaranya ialah Dr. Abdul Rashid Aziz dari Institut Sukan Singapura. 3 penceramah lain ialah dari dalam USM iaitu Prof. Dr. Liong Min-Tze (Pusat Pengajian Teknologi Industri), Prof. Madya Dr. Siti Noor Fazilah Mohd Noor (IPPT) dan Dr. Mohd Ghows Mohd Azzam (Pusat Pengajian Sains Kajihayat).

Kolokium ini disertai oleh seramai 40 orang peserta dengan 26 orang pelajar akan membentangkan hasil kajian mereka. Pembentangan akan meliputi pelbagai topik termasuk Sains Perubatan dan Kesihatan, Sains dan Teknologi Gunaan serta Sains Kimia dan Sains Fizik.

Turut diadakan ialah sesi ceramah pameran penyelidikan dan ceramah daripada pihak industri berkenaan peluang kerjaya dan perkongsian terkini dalam bidang penyelidikan terjemahan.

 

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

 

  • Last updated on .
  • Hits: 743