Skip to main content

IPPT LANCAR KEMPEN AMALAN 5S

Amalan 5S Klinikal

KEPALA BATAS, 6 Nov 2013 – 5S adalah singkatan bagi istilah Jepun bagi Seiri (SISIH), Seiton (SUSUN), Seiso (SINAR), Seiketsu (SERAGAM) & Shitsuke (SENTIASA AMAL). Istilah dalam Bahasa Melayu yang diguna bukanlah yang paling seerti tetapi digunakan untuk mengekalkan awalan huruf ‘S’ di dalam perkataan tersebut. Aktiviti-aktivitinya mudah dilakukan.

Amalan 5S adalah budaya memilih cara kerja yang lebih sesuai dan menghasilkan impak yang lebih praktikal melalui persekitaran kerja yang kondusif. Sebagai contoh, melalui aplikasi teknik seperti 3S iaitu (SISIH, SUSUN, SINAR) akan menjadikan lantai dan tempat kerja sentiasa bersih, diselenggara dengan baik bagi memastikan peralatan sentiasa bersih dan yang paling penting selamat, berfungsi serta tahan lama. Kesannya kerja menjadi mudah dan hasilnya lebih baik.

Amalan 5S akan membangkitkan rasa tanggungjawab dan sayang individu warga kerja kepada organisasi. Setiap individu berperanan melaksanakan amalan 5S tanpa ada seorang pun yang tertinggal. Amalan ini memerlukan sokongan daripada semua pegawai dan warga kerja bagi menjayakannnya.

Menyedari bahawa betapa pentingnya 5S ini, Bahagian Perkhidmatan Klinikal IPPT telah menjadi peneraju dengan melaksanakannya. Menurut Encik Md Hisham Abd Razak yang merupakan Ketua Aktiviti KIK/5S IPPT merangkap Pengerusi Jawatankuasa 5S Bahagian Perkhidmatan Klinikal berkata, “pelaksanaan 5S di Bahagian Perkhidmatan Klinikal adalah bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, tersusun, selamat dan bersih. meningkatkan kreativiti dan inovasi, meningkatkan motivasi dan disiplin, memupuk semangat berpasukan, memupuk sikap bertanggungjawab dan amalan penambahbaikan berterusan.”

“Memandangkan di Bahagian Perkhidmatan Klinikal IPPT terdapat banyak seksyen dan unit maka pihak jawatankuasa telah membahagikan kepada 3 zon dengan harapan agar melalui pendekatan ini konsep 5S akan dapat diterapkan dan dilaksanakan dengan sistematik di zon masing-masing.” tambah beliau lagi.

Seterusnya majlis pelancaran 5S telah disempurnakan oleh Pengarah IPPT Profesor Abd Aziz Tajuddin bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Staf Bahagian Perkhidmatan Klinikal di sini pagi tadi.

Dalam ucapannya Prof. Aziz meminta staf IPPT menjadikan 5S ini sebagai budaya kerja yang berterusan dan sentiasa diamalkan. Tambah beliau lagi, 5S adalah merupakan salah satu daripada aktiviti kualiti yang amat mustahak kerana ianya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti staf, peningkatan kreativiti/inovasi, peningkatan kecekapan dan bersistematik.

Pada majlis yang sama Prof. Aziz turut menyampaikan fail dokumen 5S kepada Encik Md Hisham Abd Razak (Pengerusi Jawatankuasa 5S Bahagian Perkhidmatan Klinikal) diikuti Puan Norliza Abu Seman (Ketua Zon 1), Puan Siti Fatimah Ramli (Ketua Zon 2) dan Puan Naseema Abdur Rahman (Ketua Zon 3). Turut hadir Dr. Muhamad Yusri Musa (Timbalan Pengarah Klinikal) dan Pengurus-pengurus Kanan.

 

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid  / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 3057