Skip to main content

UMAT ISLAM PERLU BERSATU MENENTANG ANASIR LUAR

BERTAM, 11 Oktober 2013 - Umat Islam di negara ini perlu sama-sama dalam satu landasan yang kukuh bagi menentang anasir-anasir luar yang sering mengganggu keharmonian dan kemakmuran kehidupan kita seharian.

Di Malaysia kini, isu Syiah sedang hangat diperkatakan dan ia menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara dan akidah umat Islam yang menganut Mazhab Sunnah, khususnya Syiah Ja’fariyyah atau Syiah Imam Dua Belas yang sedang berkembang sekarang dalam masyarakat Islam Malaysia bahkan dalam kehidupan antarabangsa.

Menurut Ustaz Abdullah Din yang merupakan pengkaji ajaran Syiah berkata, “penekanan betapa pentingnya kesedaran umat Islam tentang bahaya ajaran Syiah perlu dipertingkatkan dan pada masa sama, akidah mereka diperkukuhkan.”

“Umat Islam di Malaysia tidak seharusnya leka dan perlu diberi pengetahuan yang jelas akan ancaman dan bahaya fahaman Syiah ini kerana ia membabitkan hal akidah dan kepercayaaan kita sebagai seorang muslim yang berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambahnya lagi.

Beliau dijemput bagi menyampaikan ceramah menerusi “Bengkel Bahaya Konspirasi Yahudi Di Timur Tengah & Pendedahan Bahaya Syiah” ajuran Unit Hal Ehwal Islam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM.

Dalam bengkel yang dihadiri lebih 120 orang peserta itu, mereka diberi pengetahuan berkenaan bahaya ajaran Syiah ini dalam masyarakat kita di Malaysia. Pengetahuan yang jelas adalah amat perlu demi untuk menjaga kebenaran agama, meneruskan keseragaman fahaman dan pegangan yang menyelamatkan dalam kebenaran di kalangan Muslimin. Ini juga penting demi untuk mengelak daripada perpecahan, untuk menjaga kestabilan intelektual yang menjadi asas bagi pembangunan budaya dan tamadun di rantau ini.

Menerusi bengkel sehari ini juga, peserta dedahkan berkenaan Konspirasi Yahudi di Timur Tengah yang juga mengancam umat Islam di dunia ini termasuk negara kita Malaysia.

Turut hadir dan merasmikan bengkel ini ialah Prof. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT dan disertai oleh Dr Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal dan Ustaz Mohammad Shukri Osman, Pegawai Hal Ehwal Islam IPPT.

  

Teks / Foto: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 3828