Skip to main content

SEMBELIHAN CARA ISLAM ADALAH YANG TERBAIK

TIKAM BATU, 5 Oktober 2013 - Penyembelihan diwajibkan ke atas setiap haiwan yang halal dimakan oleh orang Islam untuk memastikan sumber yang dimakan dapat memberikan kesan positif pada diri seseorang muslim itu dari segi mental, fizikal, sikap, atau perwatakan, dan sebagainya. Dari segi syara‘, penyembelihan dari perspektif Islam bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam. Namun begitu, masih ramai umat Islam hari ini hanya menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu untuk melaksanakan tugas ini.

Mengambil inisiatif ini, Unit Hal Ehwal Islam IPPT USM dengan kerjasama Masjid Al-Barakah, Tikam Batu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda telah menganjurkan Kursus Sembelihan Syarie, Teori dan Praktikal. Kursus sehari ini telah menghimpunkan masyarakat kampung dan warga IPPT dalam mempelajari kaedah-kaedah penyembelihan mengikut syariat Islam.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Jazmi Md. Isa, Pensyarah IPGM, Kampus Sultan Abdul Halim kepada lebih 100 orang peserta. Menurutnya, pengetahuan mendalam mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kerohanian dan kesihatan.

“Hukum sembelihan adalah wajib dan binatang yang mati tanpa disembelih adalah dianggap bangkai, najis dan haram dimakan,” tambahnya lagi.

Para peserta juga diberi pengetahuan berkenaan Sembelihan Dari Perspektif Kesihatan & Perubatan yang disampaikan oleh Dr Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM.

Menerusi kursus ini juga, para peserta berpeluang mempelajari teknik penyembelihan secara praktikal. Setiap peserta diberikan seekor ayam untuk disembelih dengan dipantau oleh mereka yang bertauliah. Menerusi praktikal ini, para peserta akan merasai dan mendapat pengalaman sebenar teknik penyembelihan mengikut syariat Islam.

 

Teks: Faisal Jamaludin  / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 10251