Skip to main content

SERU SEMUA PIHAK BERINOVASI - MENTERI

AIN 2016

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2016 - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau hari ini menyeru semua pihak untuk melibatkan diri dalam penyelidikan dan inovasi yang bertumpu kepada penyelesaian masalah pelbagai peringkat dan pihak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2016 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diadakan di sini hari ini.

"MOSTI akan terus menjadi pemangkin serta peneraju inovasi negara yang terus memberikan dorongan dan galakan yang bersepadu bagi pengembangan inovasi tempatan," kata Madius.

Penganjuran AIN buat kali ke-11 ini adalah acara kemuncak MOSTI dalam usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada perekacipta negara yang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai agenda nasional menjelang 2020.

Tiga pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipilih sebagai finalis antara lebih 500 penyertaan bagi 4 kategori iaitu Produk, Perkhidmatan, Akar Umbi dan Sekolah.

Finalis ini adalah termasuk dua dalam kategori Produk iaitu "Bal Ex Stroke - Modul latihan strok untuk panduan di rumah" oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Zuraida Zainon dan "Nano-TIO2 towards hygienic environment and good indoor air quality" oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan manakala "Medi Bike Exerciser: Penambahbaikan teknik terapi senaman pesakit yang mengalami masalah menggerakkan anggota atas dan bawah" adalah finalis bagi kategori Perkhidmatan.

Menurut Ketua Setiausaha MOSTI, Dato' Dr. Mohd Azhar Yahaya pada tahun ini diperkenalkan dua kategori baharu iaitu Anugerah Saintis Muda Negara dan Anugerah Juruteknologi Negara serta penghargaan kepada media cetak dan media elektronik.

"Kesemua finalis bagi setiap kategori telah dua hari mempamer produk dan perkhidmatan masing-masing bermula Isnin lalu serta melalui proses penjurian," kata Mohd Azhar.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Panglima Dr. Abu Bakar Md Diah dan isteri.Penerima anugerah AIN bagi kategori Produk dan Perkhidmatan masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil, RM20,000 bagi kategori Akar Umbi dan bagi tiga kategori lain membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Teks dan Foto: Nor Rafizah Md Zain

  • Last updated on .
  • Hits: 994