Skip to main content

GALAKSI R-3 TERPILIH KE PERINGKAT AKHIR AIN 2016

KIK Bangkok 2016

BERTAM, 13 Oktober 2016 - Pasukan KIK dari Kumpulan Galaksi R-3 sekali lagi mengharumkan nama USM apabila dipilih ke peringkat akhir Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2016 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf minda-minda cemerlang dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R,D&C) dalam majlis khas iaitu Malam Anugerah Inovasi Negara 2016 (AIN 2016) yang akan diadakan di Hilton Kuala Lumpur pada 19 Oktober nanti.

Menurut ketua kumpulan Galaksi R-3, Muhammad Akasyah Baharum, mereka berasa amat berbangga dan bersyukur kerana terpilih ke peringkat akhir AIN 2016.

“Pencapaian ini amat bermakna bagi kumpulan kami dan kami amat berterima kasih kepada pihak USM, IPPT dan Unit Kualiti USM serta mereka yang tidak pernah berputus asa membantu dan menyokong kami sehingga ke tahap ini,” katanya.

“Menerusi peluang yang diberikan ini, kami berharap agar inovasi yang kami hasilkan ini mampu mendapat lebih perhatian dan permintaan daripada pelbagai pihak untuk tujuan perubatan,” tambahnya lagi.

Semua finalis termasuk Kumpulan Galaksi R-3 akan membuat pameran di NU Sentral Kuala Lumpur bermula 17 sehingga 18 Oktober 2016. Kelayakan ke peringkat akhir ini membolehkan Galaksi R-3 menerima wang tunai saguhati sebanyak RM1000.00 dan sijil penyertaan.

Kumpulan Galaksi R-3 sebelum ini telah berjaya merangkul Anugerah Emas dalam International Convention on Quality Control Circles 2016 (ICQCC 2016) yang berlangsung di The Centara Grand at Central Plaza Ladprao Hotel, Bangkok Thailand pada 22 hingga 26 Ogos lalu.

Kumpulan Galaksi R-3 menghasilkan Medi-Bike Exerciser yang merupakan alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain oleh SIRIM. Produk ini juga telah mendapat status hakcipta daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Teks: Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1001