Skip to main content

PELAJAR KOLEJ MATRIKULASI KEDAH TERUJA MELAWAT IPPT

Lawatan Matrik Kedah

BERTAM, 14 Oktober 2016 - Seramai 120 orang pelajar dan 8 orang pensyarah Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) telah mengadakan lawatan ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Sains, Kolej Matrikulasi Kedah, Encik Khairi Md Daud, lawatan ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IPPT.

“Pelajar-pelajar ini perlu diberikan pendedahan secara langsung untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang kerjaya dalam bidang kesihatan, perubatan dan lain-lain bidang yang berkaitan di sini,” katanya.

“Para pelajar yang mengikuti lawatan pada hari ini adalah merupakan pelajar daripada aliran sains yang akan menyambung pengajian di universiti kelak. Jadi lawatan pada hari ini sangat baik dan sedikit sebanyak memberi pendedahan awal kepada mereka untuk memohon jurusan atau bidang pengajian di universiti nanti,’’ tambahnya lagi.

Khairi juga memberitahu kebanyakkan pelajar ini bercita-cita untuk menjadi Doktor Perubatan sedangkan peluang kerjaya lain yang berkaitan dengan perubatan dan pergigian masih banyak.

Beliau berharap, dengan lawatan ke IPPT hari ini akan membuka minda mereka supaya tidak terlalu fokus kepada satu kerjaya sahaja kerana masih banyak lagi bidang kerjaya yang boleh diceburi berkaitan perubatan.

Menerusi lawatan singkat ini, para pelajar telah dibawa melihat sendiri kemudahan perawatan yang terdapat di IPPT. Antara kemudahan yang sempat dilawati ialah Klinik Onkologi & Radioterapi, Unit Perubatan Nuklear, Klinik Pergigian, Seksyen Farmasi, Unit Imejan dan Makmal Diagnostik Termaju.

Pelajar turut diterangkan serba sedikit berkenaan laluan kerjaya dalam bidang perubatan yang kurang diketahui umum. Rata-rata pelajar yang ditemui berpuas hati dan mendapat banyak maklumat dan manfaat hasil daripada lawatan ini.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 2110