Skip to main content

STAF IPPT ANTARA PENERIMA ANUGERAH MAAL HIJRAH USM 1438

Maal Hijrah 1438H

PULAU PINANG, 12 Oktober 2016 - 2 orang staf dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM telah menerima anugerah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 peringkat Universiti Sains Malaysia. Mereka adalah Dr. Muhamad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian IPPT, dan Mohd Salleh Abdul Rahman, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat.

Dr. Muhamad Yusri melahirkan rasa syukur dengan anugerah dan penghargaan yang telah diberikan terhadapnya.

“Anugerah yang diperolehi ini adalah hasil sokongan dan pengorbanan daripada isteri, anak-anak, rakan NGO serta seluruh warga IPPT. Saya berasa rendah diri dan insaf kerana semua usaha yang dibuat selama ini adalah hasil daripada kerjasama dalam satu pasukan dan bantuan rakan-rakan seperjuangan. Tidak kira sama ada dalam tugasan rasmi atau menerusi khidmat masyarakat bersama NGO,” katanya.

“Saya berharap agar mempunyai kemampuan untuk terus berusaha, bekerja dan belajar lagi bagi menambah ilmu dan kemahiran yang lebih baik,” tambahnya.

Dr. Muhamad Yusri yang juga merupakan seorang pensyarah dan Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di IPPT telah dianugerahkan Hadiah Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah Kategori Akademik.

Bagi Encik Mohd Salleh Abdul Rahman, beliau merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pusat Islam USM atas memberian anugerah ini.

“Saya berasa amat bersyukur, terharu dan gembira atas penganugerahan yang tidak terhingga ini. Saya berharap dengan anugerah ini ia dapat menjadi contoh dan teladan kepada staf-staf lain untuk terus bersama-sama bersemangat dalam memartabatkan nama USM,” katanya.

Mohd Salleh menerima Hadiah Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah bagi Kategori Penghargaan Khas Pusat Islam. Anugerah ini diberikan atas khidmat bakti beliau dalam membantu pengurusan aktiviti Pusat Islam.

Dalam majlis berkenaan, Naib Canselor turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H kepada pakar ubat-ubatan herba dari Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Zhari Ismail.

Seramai 11 orang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah dalam tiga kategori manakala 10 orang staf dan ahli qaryah menerima Anugerah Penghargaan Khas Pusat Islam.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Dr Muhamad Yusri Musa

  • Last updated on .
  • Hits: 1932