Skip to main content

MAKNA LANCAR RUMAH PERANTARAAN UNTUK PESAKIT KANSER

Rumah MAKNA

BERTAM, 7 Oktober 2016 - Majlis Kanser Nasional (MAKNA) melancarkan Rumah Perantaraan MAKNA kedua mereka di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Rumah perantaraan ini diwujudkan bertujuan untuk memberikan kemudahan penginapan sementara kepada pesakit yang mendapatkan rawatan kanser di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MAKNA kerana telah memilih Bertam sebagai lokasi untuk mewujudkan Rumah Perantaraan bagi memberi kemudahan kepada pesakit kanser yang mendapat rawatan di IPPT dan hospital yang berdekatan.

“Saya yakin dan percaya dengan wujudnya Rumah Perantaraan Makna ini ianya akan dapat membantu meringankan beban pesakit dan waris pesakit. Selain daripada rawatan dalam bentuk kepakaran dan penggunaan teknologi terkini, sokongan sosial sangat perlu untuk memberi semangat kepada pesakit dan waris pesakit supaya tidak berputus asa dalam mengubati penyakit mereka.

“Dengan adanya rumah yang seumpama ini juga akan dapat memberi keselesaan dan ketenangan kepada pesakit untuk fokus kepada rawatan,” katanya ketika berucap merasmikan rumah perantaraan tersebut.

Rumah Perantaraan MAKNA di Bertam ini mempunyai 4 bilik tidur, ruang tamu dan dapur yang kesemuanya dilengkapi perabot, dan terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari IPPT dan 30 minit dari Hospital Seberang Jaya.

Bagi Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid pula, beliau berharap dengan wujudnya perkhidmatan ini, ia dapat mengurangkan bebanan pesakit kanser yang tinggal jauh dari hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Menerusi interaksi kami dengan pesakit kanser, kebanyakan mereka mempunyai masalah dari segi jarak dari rumah mereka untuk mendapatkan rawatan di hospital. Maka kami menyediakan pengangkutan kepada pesakit dari rumah perantaraan ini ke hospital untuk memudahkan mereka mendapatkan rawatan.

“Kami ingin memberikan pesakit suasana seperti berada di rumah dan yang paling penting ia memberikan kesihatan, ketenangan dan sokongan untuk mereka meneruskan rawatan bagi melawan penyakit kanser,” tambah Farahida lagi.

Rumah Perantaraan MAKNA untuk wilayah utara Semenanjung Malaysia ini adalah yang kedua diwujudkan selepas yang pertama pada Mac lalu di Mount Austin, Johor Baharu.

MAKNA berhasrat untuk mewujudkan 9 buah rumah perantaraan lagi di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pesakit mendapatkan rawatan kanser. Rumah ini akan ditempatkan berhampiran hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan radioterapi dan kemoterapi.

Yang turut hadir ialah ahli Exco MAKNA, Dr. Imran bin Abd. Khalid, Timbalan-timbalan Pengarah IPPT serta staf IPPT dan Hospital Seberang Jaya.

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 1698