Skip to main content

IOSISMP 2016 HIMPUN 300 PESERTA DARI 16 BUAH NEGARA

IOSISMP 01

PULAU PINANG, Ogos 2016 - Seramai 300 peserta dari 16 buah negara termasuk Malaysia telah menyertai Persidangan Antarabangsa Simposium Onkologi dan Seminar Antarabangsa Ke-10 Fizik Perubatan (IOSISMP) 2016 bagi berkongsi maklumat terkini serta penemuan baru dalam bidang perawatan penyakit kanser. Persidangan 2 hari anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) dan Persatuan Fizik Perubatan (MAMP) telah diadakan di Hotel Bayview Beach Resort, Batu Ferringhi, Pulau Pinang bertemakan “The Way Forward in Multimodality and Targeted Therapy in Oncology’’.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pada tahun 2012, Laporan Kanser Sedunia melaporkan 14 juta kes baru dan 8.2 juta kematian berkaitan kanser di seluruh dunia telah dicatatkan.

“Bidang Fizik Perubatan dan Onkologi memainkan peranan penting dalam isu yang melibatkan sinaran untuk pengimejan kanser dan terapi radiasi. Melalui usaha bersepadu dan penglibatan semua pihak berupaya membantu meningkatkan kadar survival pesakit dan pada masa yang sama boleh menurunkan kadar pesakit kanser,” katanya.

“Menerusi persidangan ini, diharap ianya menjadi platform kepada Pakar Onkologi, Pakar Pembedahan, Pakar Patologi, Pakar Radiologi dan Ahli Fizik Perubatan untuk berkongsi maklumat terkini serta penemuan baru bagi membantu dalam merawat pesakit kanser dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup manusia sejagat,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan tersebut.

IOSISMP 02

Berdasarkan statistik kanser yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan secara umumnya di Malaysia, terdapat 5 jenis kanser yang utama iaitu kanser payudara, paru-paru, usus, serviks dan nasofarinks. Individu yang berusia 40 tahun ke atas dikaitkan berisiko tinggi untuk mendapat kanser.

Pada tahun 2006, daripada 100,000 orang seramai 18,259 orang dilaporkan menghidap kanser. Walau bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan bahawa daripada 100,000 orang seramai 20,000 menghidap kanser. Kajian menunjukkan bahawa merokok, penyakit berjangkit, pencemaran alam sekitar, pemakanan, sejarah keluarga dan perubahan genetik merupakan antara faktor penyebab kanser. Peningkatan dalam populasi dan jangka hayat yang lebih panjang juga menyumbang kepada peningkatan pesakit kanser.

Adalah dianggarkan bahawa satu pertiga daripada kes kanser boleh dielakkan. Pelan Tindakan Global WHO mensasarkan 25% penyakit tidak berjangkit akan mengalami penurunan menjelang 2025 melalui pengukuhan kerjasama dan sokongan semua pihak di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar, persidangan ini bermatlamat untuk memperkenalkan IPPT sebagai pusat rujukan kanser yang mempunyai kepakaran dan kemudahan peralatan terkini.

“Melalui persidangan ini juga diharapkan jaringan kerjasama dalam bentuk penyelidikan, penerbitan dan pengajaran dalam bidang Onkologi dan Fizik Perubatan akan dapat diperluaskan dengan kehadiran delegasi daripada institusi ternama dari dalam dan luar Negara,” katanya.

“IPPT kini merupakan satu-satunya institusi Kerajaan yang menawarkan perkhidmatan radioterapi bagi penduduk di wilayah Utara Semenanjung Malaysia. Radioterapi adalah merupakan salah satu daripada komponen penting dalam rawatan kanser. Selain radioterapi, perkhidmatan lain yang turut ditawarkan ialah kemoterapi dan brakiterapi,” tambahnya lagi.

IOSISMP 03

Terdahulu, telah diadakan pra simposium dan kursus FRCR Part 2 Clinical Oncology preparatory and Quality Assurance of Advanced Radiotherapy dianjurkan yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kemahiran klinikal yang diperlukan oleh Pakar Klinikal Onkologi dan Ahli Fizik Perubatan.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa,  Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah, Presiden Persatuan Fizik Perubatan (MAMP), Dr. Shazril Imran Shaukat, Pengerusi “1st AMDI International Oncology Symposium 2016” serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 1695