Skip to main content

TNC HEPA SAMBUT PELAJAR BAHARU IPPT

Pelajar Baru Okt 2016

BERTAM, 2 September 2016 – Seramai 22 orang pelajar baharu telah mengesahkan tawaran mengikuti program mod campuran di IPPT yang terdiri daripada pelajar tempatan dan luar Negara. Pelajar ini akan mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Sains (Penyelidikan Perubatan, Toksikologi Kesihatan, Sains Oral dan Sains Transfusi).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein terdahulu mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada semua pelajar kerana terpilih untuk menyambung pengajian di USM.

“Saya berbangga di atas pencapaian IPPT dalam bidang akademik kerana menjadi institusi pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian eksklusif dalam bidang Sarjana Perubatan Transfusi dan Sarjana Perubatan Nuklear, katanya.

“Kemajuan IPPT dalam bidang akademik yang semakin berkembang pesat ini sudah tentu memerlukan prasarana serta lain-lain kemudahan disediakan dengan baik. Universiti amat mengambil berat kebajikan para pelajar. Oleh itu, pihak universiti akan berusaha memastikan kemudahan ini dapat memenuhi keperluan para pelajar di sini,” tambahnya lagi ketika merasmikan program orientasi pelajar baharu IPPT.
Dalam pada itu, sebagai langkah permulaan, 3 blok kuarters milik Kementerian Pendidikan Malaysia yang terletak di Bandar Kepala Batas telah disewa untuk penginapan pelajar memandangkan IPPT sebelum ini tidak mempunyai kemudahan penginapan.

Beliau berharap dengan adanya kemudahan penginapan tersebut akan menarik minat lebih ramai pelajar untuk menyambung pengajian di IPPT dan pada masa yang sama penawaran program pengajian baru boleh dirancang untuk masa hadapan.

Program orientasi pelajar baru ini adalah aktiviti rutin diadakan bagi membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran kampus. Taklimat tentang latar belakang program pengajian, taklimat penggunaan makmal dan perpustakaan, taklimat kemudahan rawatan dan lain-lain lagi turut akan disampaikan untuk pengetahuan pelajar agar mereka mendapat maklumat yang tepat.

Ketika diminta mengulas berkenaan pencapaian bidang akademik di IPPT, Timbalan Pengarah Bahagian Akademik & Hal Ehwal Pelajar (BAHEP) IPPT, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, program akademik di IPPT yang pertama telah dilancarkan pada tahun 2004 iaitu Sarjana Sains (Penyelidikan Perubatan) secara mod campuran dan sehingga kini terus mendapat sambutan baik.

“Memang menjadi hasrat IPPT untuk menawarkan program-program akademik yang ulung dan tidak ditawarkan di mana-mana institusi lain di negara ini. Sebagai contoh, IPPT menawarkan secara eksklusif program Sarjana Perubatan dalam Perubatan Transfusi dan Perubatan Nuklear bagi menampung keperluan pakar perubatan dalam negara. Manakala program mod penyelidikan MSc dan PhD terus mendapat sambutan dari pelajar tempatan dan antarabangsa,” katanya.

“Sehingga hari ini, IPPT mempunyai seramai 80 orang staf akademik yang terdiri dari ahli-ahli sains dengan kelayakan PhD dan ahli akademik terdiri daripada pakar-pakar perubatan dan pergigian dengan memberi nisbah 1:2 kepada keseluruhan pelajar. Dengan nisbah yang agak selesa ini diharapkan pelajar-pelajar di IPPT mendapat bimbingan yang optima dan memanfaatkan sepenuhnya hingga mereka berjaya berijazah dan mengembangkan karier masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein turut melancarkan “Student Buddies” yang bertujuan untuk menyokong aktiviti pelajar bagi memudahkan pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang baru seperti program orientasi, lawatan (buddies tour) dan khidmat fasilitator.

“Saya amat kagum dan memuji usaha IPPT dalam mewujudkan “Student Buddies” ini dan berharap ianya akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu pelajar baharu yang lain pula,” katanya.

Menerusi “Student Buddies”, pelajar boleh melibatkan diri dalam aktiviti lain yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama pelajar baik dalam kalangan pelajar tempatan atau antarabangsa. Aktiviti santai seperti “students coffee club” dan rekreasi akan memberi peluang para pelajar saling mengenali dan berkongsi sebarang masalah atau isu yang berkaitan dengan pembelajaran atau peribadi. Manakala aktiviti seperti “International Culture and Food Carnival” akan memberi pendedahan kepada corak budaya yang berlainan supaya pelajar lebih memahami kepelbagaian (diversity) dan toleransi.

Sesi dialog bersama para pelajar juga turut diadakan bagi menjawab persoalan-persoalan berkaitan akademik dan perkara-perkara umum tentang universiti.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Bahagian Akademik & Hal Ehwal Pelajar (BAHEP) IPPT, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Ketua-ketua Kluster dan para pensyarah.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid & Faisal Jamaludin / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1102