Skip to main content

IPPT TAWAR PERKHIDMATAN ENDOSKOPI

Perasmian Endoskopi

BERTAM, 17 Ogos 2016 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengembangkan cabang perkhidmatannya dengan menawarkan khidmat endoskopi kepada orang ramai.

Menurut Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar, kewujudan perkhidmatan endoskopi memang tepat pada masanya kerana akan membantu Klinik Onkologi IPPT dalam menentukan kaedah rawatan selanjutnya bagi pesakit kanser.

“Perkhidmatan endoskopi juga merupakan nilai tambah kepada perawatan pesakit dan tidak terhad kepada penyakit kanser sahaja. Perkhidmatan ini akan menjadi sebagai satu kaedah pengesanan awal bagi mereka yang berisiko tinggi untuk kanser salur pemakanan dan usus,” katanya.

“Menerusi perkhidmatan baru ini, ia bukan sahaja membantu dalam aspek rawatan kepada pesakit malah akan dapat membantu untuk aktiviti penyelidikan klinikal,” tambahnya lagi ketika berucap merasmikan perkhidmatan tersebut di Kompleks Klinikal IPPT.

Perkhidmatan endoskopi ini juga akan berfungsi sebagai rawatan susulan dalam pemeriksaan kanser salur pemakanan dan usus. Fungsi tambahan lain adalah untuk mereka yang mempunyai masalah gastrik dan radang usus.

Dalam ucapannya, beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Leow Voon Meng, Pakar Bedah Surgery Am & Hepato-Pankreatik-Biliari (HPB) dan staf yang terlibat dalam proses penubuhan Unit Endoskopi di IPPT.

“Kerja kuat daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung akhirnya unit ini berjaya ditubuhkan dan sememangnya sangat diperlukan untuk membantu pesakit kanser serta pesakit lain dalam mendapatkan rawatan terbaik,” katanya.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian & Piawaian IPPT, Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar-pakar Perubatan, Pegawai Perubatan dan staf.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Amir Zaidi Abu Hassan

 

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

Foto : Amir Zaidi Abu Hassan

  • Last updated on .
  • Hits: 1485