Skip to main content

KEMBARA PRIHATIN CERIAKAN WARGA PERMATA KASIH

PERMATANG PAUH, 15 Jun 2013 – Mungkin ada di kalangan kita tidak merasai penderitaan anak-anak kecil ini, tetapi percayalah di sanubari mereka tersimpan perasaan untuk mendapat belaian kasih seorang bapa atau ibu yang telah pergi buat selama-lamanya.

Malahan, ada juga di kalangan penghuni di Rumah Permata Kasih, di sini tidak mendapat perlindungan sewajarnya sebelum ini kerana kesempitan hidup dan mereka mengharapkan simpati masyarakat untuk menentukan hala tuju hidup mereka.

Bersempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang disambut bulan lalu, sekumpulan staf yang terdiri daripada 40 orang jururawat telah mengadakan Program Kembara ke Rumah Permata Kasih. Program anjuran Unit Kejururawatan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam dan Unit Perhubungan Awam IPPT ini diadakan bertujuan untuk memanjangkan ukhuwah serta keperihatinan untuk mengenali dan menyelami perasaan anak-anak yatim yang berada di sini.

Melalui taklimat ringkas yang disampaikan oleh Puan Subiha Safar, penyelia rumah tersebut memaklumkan bahawa anak-anak yatim yang dijaga di rumah tersebut ialah seramai 25 orang. Mereka ini ditempatkan di dua buah rumah teres dua tingkat yang disewa. Beliau berasa amat terharu dengan kehadiran warga IPPT dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Pada majlis tersebut juga, Prof Dr Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan IPPT turut hadir dan memberi ucapan nasihat kepada anak yatim berkenaan dan seterusnya menyampaikan sumbangan dari seluruh warga IPPT kepada pihak pengurusan Rumah Permata Kasih.

Sebagai sebuah universiti awam, IPPT sentiasa peka dan mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat terutamanya yang berada di sekitar Pulau Pinang ini. Program-program keagamaan dan kebajikan sentiasa diadakan bagi tujuan mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. IPPT berasa terpanggil untuk membantu dan meraikan anak-anak yatim ini atas dasar tanggungjawab sebagai seorang yang sempurna dan berkemampuan serta persaudaraan sesama manusia.

 

Berita/Foto : Mohd Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1784