MASYARAKAT PERLU HARGAI PERANAN JURURAWAT
KEPALA BATAS, 22 Mei 2016 - Peranan Jururawat amat penting dalam memastikan kesihatan dan keperluan pesakit yang dirawat berada dalam keadaan baik dan sempurna. Peranan dan tugas sebagai jururawat yang tidak seharusnya diambil ringan oleh setiap lapisan masyarakat.
Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar berkata, Jururawat mempunyai peranan yang sangat besar dan ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh masyarakat."
"Mereka adalah tenaga profesional yang menjadi barisan hadapan dalam memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit. Dengan profesionalisme tinggi yang ditonjolkan akan mampu meningkatkan tahap perkhidmatan yang terbaik," katanya.
"Jururawat juga perlu menjadikan kerjaya mereka sebagai salah satu tanggungjawab kepada masyarakat. Bertugas sebagai jururawat juga perlu sentiasa berfikir dan bertindak secara proaktif, inovatif dan kreatif dalam melaksanakan tugasan seharian mereka," tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM dekat sini malam tadi.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian jururawat di IPPT dan berharap agar semua jururawat lebih peka dan tidak ketinggalan dengan aliran arus kemodenan dalam bidang perubatan dan kesihatan.
Jururawat perlu sentiasa berusaha membuat pembaharuan dan inovasi bagi menyumbang kepada mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini seperti yang telah dilakukan oleh beberapa orang jururawat yang berjaya mengharumkan nama IPPT dalam penghasilan inovasi baru ke peringkat antarabangsa.
Dalam majlis berkenaan juga, Pengarah IPPT turut menyampaikan beberapa anugerah kepada pemenang-pemenang dan penghargaan kepada jururawat yang akan bersara.
Majlis ini dihadiri oleh seramai 100 orang jururawat yang bertugas di pelbagai unit di IPPT bersama ahli keluarga masing-masing.
Yang turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan-timbalan Pengarah dan Pegawai-pegawai Perubatan IPPT.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 3492