AMDI TOW TEAM GAGAL RAIH HATRIK TARIK TALI TOT
PULAU PINANG, 17 April 2016 – Pasukan tarik tali Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) gagal meraih gelaran juara tarik tali pada Kejohanan Temasya Olahraga Tahunan (TOT) ke-42 yang berlangsung di Kompleks Olahraga USM yang berakhir hari ini.
AMDI Tow Team ditewaskan pencabar terdekat iaitu pasukan Desasiswa Indah Kembara sekaligus melenyapkan harapan mereka untuk meraih hatrik yang dimenangi mereka dalam dua kejohanan terdahulu.
Ketua pasukan AMDI Tow Team, Mohamad Firdhaus Harun berkata, mereka telah melakukan yang terbaik dalam memberi saingan acara ini, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Pasukan kami telah melakukan persediaan rapi dan latihan yang mencukupi sejak sebulan yang lalu bagi bersaing mendapatkan gelaran juara pada kejohanan tahun ini. Ternyata pasukan lawan pada peringkat akhir lebih hebat dan memberikan persaingan yang agak sengit,” katanya.
“Kami tidak berasa kecewa dengan kekalahan ini namun kami berasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Pasukan Desasiswa Indah Kembara. Walaupun terdiri daripada pelajar, mereka mampu menewaskan pasukan staf yang lebih berusia daripada mereka,” tambah Firdhaus lagi.
Lebih 40 kategori acara olahraga termasuk tarik tali dipertandingkan dalam temasya kali ini yang berlangsung dari 15-17 April 2016 di Stadium Olahraga USM.
Turut menerpa kejayaan dalam temasya kali ini ialah Dr. Muhammad Azrul Zabidi yang meraih Pingat Emas menerusi acara Lontar Peluru dan Fius Benjuin pingat gangsa dalam acara 200M Veteren.
Juara keseluruhan bagi temasya kali ini dimenangi oleh Desasiswa Jaya Utama bagi Lelaki dan Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang (BPCG) bagi kategori wanita.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 4165