IPPT MENDEKATI MASYARAKAT ORANG ASLI DI BALING
BALING, 1 Jun 2013– Menyedari akan hakikat masyarakat orang asli yang merupakan golongan yang paling tinggi berisiko menghidap penyakit tuberculosis (TB), sekumpulan penyelidik dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah merangka satu program pemeriksaan kesihatan dan sukaneka bersama-sama masyarakat orang asli di Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Siong, Kedah.
Bagi mengoptimumkan pemahaman dan kesedaran tentang penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat orang asli ini, dua program telah dijalankan secara serentak iaitu aktiviti sukaneka bagi anak-anak orang asli dan juga sesi ceramah kesihatan untuk para ibubapa dan remaja. Ini adalah supaya golongan dewasa dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ceramah kesihatan yang di sampaikan oleh Puan Law Kim Sooi, Penolong Pengarah (Jururawat) IPPT.
Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk menjalankan kajian di bawah geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bertajuk “Pencegahan dan pengetahuan Tuberculosis di kalangan orang asli di Baling” yang diketuai oleh Dr. Muhammad Yusri Musa, yang juga merupakan Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian IPPT.
Program selama setengah hari itu telah mendapat kerjasama dan respon yang baik dari penduduk kampung. Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah pemeriksaan kesihatan dan soal selidik di samping demonstrasi tentang cara membasuh tangan yang betul.
Berita/ Foto: Mohd Nadzri Shuib
- Last updated on .
- Hits: 2156