SSRU HASRAT JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN USM
BERTAM, 8 Mac 2016 - College of Allied Health Science, Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU), Bangkok Thailand berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang penyelidikan khususnya menerusi bidang perubatan integratif.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarahnya, Profesor Dr. Adulya Viriyavejakul dalam lawatan koloborasi mereka bersama 12 deligasi lain ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM hari ini.
“Pihak SSRU melihat USM sebagai sebuah institusi pendidikan yang ternama di Malaysia dan sebagai sebuah universiti penyelidikan yang terbaik untuk dijadikan rakan kerjasama rentas sempadan,” katanya.
“Banyak perkara yang boleh dijalinkan terutamanya program pertukaran pelajar dan kakitangan akademik, khidmat nasihat penyelidikan, perkongsian maklumat, idea dan sebagainya. Ini mampu menghasilkan kajian berimpak tinggi oleh kedua-dua pihak suatu hari nanti,” tambahnya lagi.
Kehadiran deligasi disambut oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff. Beliau dalam ucapannya menyifatkan lawatan ini mampu membuka peluang kerjasama yang baik dalam bidang kajian perubatan herba yang kini giat dijalankan di IPPT menerusi Kluster Perubatan Integratif.
“USM menerusi IPPT menyambut baik hasrat SSRU untuk bekerjasama khususnya dalam perubatan herba dan komplementari yang semakin mendapat sambutan di negara ini. Kita akan berbincang dengan lebih lanjut dengan SSRU untuk melihat kerjasama yang boleh diterokai dan dijalinkan bersama,” ujar Narazah.
Deligasi turut dibawa melawat Taman Herba yang dibangunkan oleh Kluster Perubatan Integratif. Mereka juga berkesempatan melihat sendiri operasi Klinik Perubatan Integratif yang menawarkan perkhidmatan urutan tradisional dan bekam.
Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU) adalah sebuah universiti yang terletak di Bangkok Thailand dan menawarkan lebih 80 bidang pengajian di peringkat Sarjana Muda hingga ke peringkat Doktor Falsafah.
Turut bersama dalam lawatan ini ialah Ketua Kluster Perubatan Integratif, Dr. Lim Vuanghao dan pensyarah-pensyarah dari Kluster Perubatan Integratif.
Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Amir Zaidi Abu Hassan
- Last updated on .
- Hits: 1153