KLUSTER PERUBATAN INTEGRATIF TINGKAT KESEDARAN PELAJAR
KEPALA BATAS, 27 Februari 2016 – Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil bahagian dalam Karnival Sains 2016 anjuran Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) baru-baru ini.
Karnival ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) Dr. Haji Zainal Aalam bin Hassan. Antara aktiviti menarik yang telah diadakan ialah camp run, pameran kelab alchemy, pameran planetarium, pertunjukkan ular, demo kebakaran, kuiz astronomi, kempen derma darah dan gerai jualan.
Menurut Ketua Kluster Perubatan Integratif, Dr. Lim Vuanghao, pihak kluster telah mengambil inisiatif mengadakan pameran herba, madu kelulut, bekam dan juga analisis fragmen DNA menggunakan kaedah gel elektroforesis.
"Pelajar telah didedahkan kepada kaedah pengekstrakan herba, penghasilan herbarium dan penggunaan aplikasi “bar code scanner” di telefon pintar untuk mendapatkan informasi mengenai tumbuhan herba yang dibawa khas dari Taman Herba Kluster Perubatan Integratif. Aplikasi ini membolehkan para pelajar mendapatkan maklumat seperti nama saintifik, perincian kimia dan kesan terapeutik herba-herba tersebut," katanya.
"Selain daripada pameran pihak kluster juga mengadakan tayangan video mengenai penternakan madu kelulut dan demonstrasi bekam angin. Tambah beliau lagi pendedahan berkenaan penggunaan herba dan madu kelulut dalam bidang perubatan, kaedah bekam yang selamat, pengenalan kepada kajian perincian DNA perlu disebarkan kepada para pelajar untuk membuka minda mereka tentang kepentingan ubatan herba dan rawatan alternatif dalam bidang perawatan,” tambah Lim lagi.
Selain IPPT, turut mengambil bahagian dalam pameran ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Karnival Sains 2016 turut dihadiri oleh Kolej Matrikulasi sekitar zon utara dan juga sekolah-sekolah yang berdekatan.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2293