Skip to main content

PENSYARAH BERI TUSYEN PERCUMA KEPADA PELAJAR OKU PENGLIHATAN

St Nicholas 1

PULAU PINANG, 30 Januari 2016 - Sekumpulan pensyarah muda dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia telah memberikan perkhidmatan kelas tuisyen kepada pelajar OKU penglihatan yang tinggal di sekitar Pulau Pinang. Mereka menawarkan kelas percuma untuk matapelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris bermula Februari ini dan berterusan selama 2 tahun.

Menurut Ketua Projek ini, Dr. Siti Hawa Ngalim, mereka telah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar serta guru-guru pendidikan khas bagi memberikan penerangan tentang projek ini dan maklumbalas yang diterima amat baik.

“Ibu bapa dan guru-guru sangat mengalu-alukan bantuan oleh para pensyarah dan mereka menghargai usaha murni yang dilakukan dalam membantu anak-anak mereka. Mereka memberikan kerjasama yang amat baik dalam membantu kami menerangkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya dijalankan dalam kalangan pelajar OKU penglihatan,” katanya.

Menurut Siti Hawa lagi, idea tercetusnya projek ini ialah apabila beliau mengkagumi seorang pelajar Doktor Falsafah di Pennsylvania State University dimana tempat beliau belajar suatu ketika dahulu iaitu Dr. Cary Supalo yang cacat penglihatan. Dr. Cary Supalo kini adalah seorang pensyarah kimia di Illinois State University, Amerika Syarikat dan kekurangan pada dirinya tidak menjadi penghalang untuknya terus belajar dan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain.

“Sokongan daripada kerajaan dan masyarakat kita di negara ini mampu membantu warga OKU penglihatan ini untuk menambahkan pengetahuan atau menceburi kerjaya dalam pelbagai bidang terutama bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang semakin mendapat sambutan masa kini.”

“Bantuan daripada pihak kerajaan dari segi biasiswa pembelajaran, alatan khas pembelajaran, akses ke sumber makalah dalam bentuk braille dan kemudahan OKU di univerisiti-universiti contohnya adalah amat diharapkan,” ujarnya.

“Berdasarkan perbualan dengan wakil salah sebuah institusi khas untuk pelajar buta, dimaklumkan malangnya pada masa ini, pelajar OKU penglihatan hilang minat untuk mempelajari STEM kerana mereka tanggapan, tiada kepentingan atau harapan untuk mereka,” tambahnya lagi.

Terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi dalam mengajar pelajar-pelajar ini iaitu setiap sumber bahan bantuan mengajar dalam bentuk teks dan diagram biasa akan diterjemahkan kepada tulisan bentuk braille. Namun ianya tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan usaha murni ini.

Program ini akan dijalankan selama 2 tahun bertempat di St. Nicholas’ Home Pulau Pinang. Seramai 12 orang pensyarah dan 6 orang kakitangan akan membantu dalam projek ini.

Mereka memilih matapelajaran Sains dan Matematik yang mudah untuk diajar kepada pelajar-pelajar ini. Antara medium pengajaran yang akan digunakan ialah sesi kuliah ringkas, perbincangan, kad imbas dengan tulisan “braille” sebagai nota kecil dan model gergasi atau bahan lain untuk kegunaan deria sentuh, dengar, rasa dan hidu.

Menerusi program ini, mereka berharap agar pelajar OKU penglihatan ini tidak ketinggalan dalam bidang STEM. Interaksi menerusi sesi pembelajaran juga diharapkan dapat meningkatkan sikap lebih ingin tahu tentang ilmu sains dan lebih terbuka untuk membincarakan buah fikiran mereka tanpa rasa ragu.

Ahli masyarakat lain juga boleh membantu warga OKU penglihatan di Pulau Pinang ini dengan menjadi peserta untuk aktiviti “Ride For Sight 2016” yang akan diadakan tidak lama lagi. Program ini akan diadakan pada 10 April 2016 daripada jam 7:00 pagi hingga 12:00 tengahari di Straits Quay. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, anda boleh melawati laman Facebook St. Nicholas’ Home, Pulau Pinang.

 

Teks / Foto: Dr Doblin Sandai    |     Suntingan : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1675