IPPT PUPUK MINAT PELAJAR CEBURI BIDANG PERGIGIAN
KEPALA BATAS, 15 Januari 2016 - Seramai 150 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang menyertai program Perintis Doktor Pergigian Muda di dewan sekolah berkenaan baru-baru ini. Program anjuran Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM ini mendapat sambutan yang amat baik dari warga MRSM.
Menurut Dr Husniyati Roslan selaku Ketua Program, objektif penganjuran program ini adalah untuk menerangkan kepentingan penjagaan kesihatan mulut di kalangan para pelajar.
“Selain itu tujuan pasukan pergigian IPPT hadir di sini adalah untuk menambah ilmu pengetahuan pelajar dan guru tentang penyakit gigi yang sering terdapat dalam masyarakat kita hari ini dan rawatan pergigian yang mungkin umum tidak mengetahui kewujudannya,” katanya.
“Kita juga memberikan khidmat nasihat secara individu dan berkumpulan mengenai bidang kepakaran pergigian yang boleh diceburi oleh pelajar ini selepas tamat pengajian kelak. Mungkin dengan cara ini kita dapat memberikan panduan kepada para pelajar untuk menentukan laluan kerjaya mereka terutamanya dalam bidang pergigian,” tambahnya lagi.
Sebelum pemeriksaan pergigian dan pertandingan “wax-up” diadakan, para pelajar didedahkan tentang bidang-bidang kepakaran pergigian menerusi ceramah khas yang disampaikan oleh Dr Husniyati Roslan, Pakar Pergigian IPPT. Selain itu, ceramah berkenaan Teknologi Kejuruteraan Bioperubatan dalam bidang pergigian juga disampaikan kepada pelajar oleh Dr Fatanah Mohd Suhaimi.
Sementara itu, Guru Penyelaras, Puan Haslina Abdul Aziz berkata, program yang julung-julung kali diadakan ini mampu memupuk minat pelajar dalam bidang pergigian di samping memperolehi maklumat tentang peluang kerjaya dalam bidang pergigian dan kepakaran pergigian, ujarnya.
Menerusi program ini, rata-rata pelajar yang ditemui memberikan reaksi yang positif. Menurut pelajar Iqfaf Alya Binti Mohamad Azmi, 16, beliau berminat dalam bidang pergigian dan bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang itu kelak.
“Melalui program ini saya berpeluang mengenal pasti program kepakaran pergigian yang bakal diikuti nanti setelah mendengar ceramah dan nasihat yang diberikan pensyarah pergigian IPPT,” katanya.
Pelajar Muhamad Aiman Nazri, 16, juga memberikan reaksi yang sama apabila tidak menyangka bahawa bidang pergigian amat luas kerangkanya dan bukan setakat penjagaan kesihatan gigi sahaja.
“Saya menaruh minat dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Bioperubatan Pergigian selepas mendengar ceramah dan penjelasan yang diberikan meskipun sebelum ini saya lebih cenderung meminati bidang akaun,” ujarnya.
Program separuh hari itu berakhir dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang menyertai pertandingan “wax-up”. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Dr Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Ketua Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan, IPPT.
Teks : Amir Zaidi Abu Hassan / Foto: Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 2313