Skip to main content

IPPT BERI SUMBANGAN KASIH RAMADHAN

Ihya Ramadhan 20152

BERTAM, 19 Jun 2015 – Ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak amat dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam kerana bulan Ramadhan adalah merupakan bulan rahmat dan bulan keampunan. Di dalam bulan yang mulia ini umat Islam juga digalakkan untuk memberi sumbangan derma bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bagi membantu mereka Jawatankuasa Ihya’ Ramadhan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadhan kepada insan yang memerlukan.

Seramai 7 orang penerima telah dijemput untuk menerima sumbangan dalam bentuk barang keperluan dapur yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Klinikal IPPT, Dr. Muhamad Yusri Musa.

Dalam ucapannya Dr. Yusri berkata “adalah diharapkan dengan sumbangan ini akan dapat meringankan beban dan memberi keceriaan kepada ahli keluarga untuk melaksanakan ibadah puasa.”

Beliau juga mengucapkan syabas kepada semua Ahli Jawatankuasa yang telah bertungkus lumus mencari sumbangan dan menyeru semua staf untuk turut sama terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan oleh jawatankuasa ini. Ujarnya lagi yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ihya’ Ramadhan.

Di antara aktiviti yang akan dianjurkan ialah Tazkirah Ramadhan, Ziarah Pesakit, Tadarus Al-Quran, Majlis Iftar, gotong-royong menyediakan juadah berbuka dan bantuan fakir miskin.

Pada majlis yang sama satu ceramah bertajuk “Ramadhan : Bulan Luar Biasa” telah disampaikan oleh Ustaz Shahfazrul Abdul Sahbuhan. Di dalam ceramahnya beliau meningatkan hadirin supaya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bulan Ramadhan.

Hal ini kerana ramai di antara kita ada yang tidak berpeluang kerana telah kembali ke rahmatullah dan ada yang terlantar sakit sehingga tidak dapat untuk melakukan ibadah dengan sempurna.

Tambah beliau lagi, digalakkan kita agar sentiasa berdoa memohon keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat serta selalu mengingati mati untuk menginsafi diri.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abd Hamid / Foto : Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 1050