Skip to main content

PERLAKSANAAN ZON BURSARY DI IPPT PERMUDAH PROSES KEWANGAN

BursaryIPPT

BERTAM, 30 Jun 2015 - Jabatan Bendahari Universiti Sains Malaysia telah mengambil langkah ke hadapan dengan Pelaksanaan Zon Bursary di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM. Tujuan perlaksanaan ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan kewangan ke arah kepuasan pelanggan yang lebih baik.

Pemangku Bendahari, Dr. Rohayati Mohd Isa dalam ucapannya berkata, “ini merupakan salah satu pembaharuan bagi memastikan kelancaran dan kelicinan proses yang melibatkan Jabatan Bendahari yang sebelum ini diuruskan di Kampus Induk.”

“Dengan kewujudan perlaksanaan zon ini, semua proses yang sebelum ini memerlukan banyak peringkat akan dikurangkan bagi memastikan setiap pembayaran dilakukan dengan lebih cepat, cekap dan efisyen,” tambahnya.

Sesi taklimat ini telah dihadiri oleh seramai 50 orang staf yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Kluster, Ketua-ketua Seksyen dan unit serta staf yang diberikan tanggungjawab untuk membantu perlaksanaan kaedah ini.

Taklimat berkenaan Pelaksanaan Zon Bursary di IPPT ini telah disampaikan oleh Puan Noorshamila Othman, Penolong Bendahari Kanan IPPT dengan disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Bendahari Kampus Induk USM di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC).

Perlaksanaan yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai ini melibatkan hampir 90% proses kewangan yang sebelum ini diuruskan oleh Jabatan Bendahari Kampus Induk akan diuruskan di Seksyen Kewangan IPPT.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Prof. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah IPPT.

Sementara itu, seramai 30 orang staf pelbagai jawatan dari setiap Seksyen di IPPT telah dipilih untuk menjalani latihan amali bagi memberi kefahaman tentang proses yang akan berlaku selepas perlaksanaan Zon Bursary ini.

Latihan penggunaan aplikasi dalam talian untuk proses pembelian, bayaran dan pelbagai proses lagi diberikan kepada wakil setiap seksyen ini bagi melaksanakannya. Ini bermakna, proses yang menggunakan kaedah manual sebelum ini dihapuskan dan digantikan dengan penggunaan secara atas talian.

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 872